suria

Shahrul Buru Jersi Hijau Pada Kejohanan Tour De Thailand

KUALA TERENGGANU: Pelumba Terengganu Pro Asia Cycling Team (TSG) Mohd Shahrul Mohd Amin berazam untuk menyarung jersi hijau 'raja pecut' pada kejohanan Tour de Thailand yang bermula Isnin.

Selain itu, pelumba berusia 24 tahun berkenaan juga berazam mengulangi kejayaannya menaiki podium ketika Tour de Taiwan minggu lalu, pada kejohanan enam hari terbabit.

"Saya akui misi ini agak sukar, namun saya dan rakan-rakan sepasukan akan memberi kayuhan terbaik," kata anak muda kelahiran Marang itu kepada Bernama, di sini.

Katanya, kejayaan memenangi peringkat ketiga Tour de Taiwan menjadi penyuntik semangat untuk meningkatkan pencapaiannya serta mengharumkan nama pasukan dan negeri pada Tour de Thailand itu.

"Kemenangan itu adalah permulaan untuk saya terus mencipta lebih kejayaan pada masa hadapan setelah gagal menaiki podium sepanjang LTdL (Le Tour de Langkawi) lalu," katanya.

Selain Shahrul, empat lagi pelumba iaitu Mohd Nor Umardi Rosdi, Harrif Salleh, Zamri Salleh dan Saiful Anuar Aziz akan menggalas cabaran TSG pada kejohanan itu. -BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain