suria

FAM Digesa Beri Maklum Balas Tuntutan Peminat Bola Sepak Tempatan - PFSLJ

KUALA LUMPUR: Satu gerakan gabungan penyokong bola sepak tempatan yang menggelarkan diri mereka 'Presiden FAM Sila Letak Jawatan' (PFSLJ) menggesa Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) memberi maklum balas segera berhubung kemerosotan mutu bola sepak tanah air.

Wakil PFSLJ, Al Fadli Awaludin berkata tindakan FAM yang belum memberi respons terhadap masalah (kemerosotan mutu bola sepak) itu menunjukkan bahawa segala dakwaan yang dibangkitkan mereka berhubung perkara itu sebelum ini, adalah benar.

"Jika mereka (FAM) mempunyai bukti segala dakwaan kami tidak benar, mereka boleh mengeluarkan kenyataan memperbetulkan dakwaan ini. Sebagai peminat bola sepak negara, kami perlu tahu apa yang berlaku.

"FAM bukan milik sesetengah individu, ia milik setiap rakyat Malaysia yang menyokong pasukan kebangsaan," katanya kepada pemberita di Kompleks Sukan Negara, Bukit Jalil di sini, Khamis.

Pada 28 Disember lepas, PFSLJ menuntut FAM memberi maklum balas terhadap lima perkara berhubung kemerosotan bola sepak negara dengan mendakwa Liga Malaysia adalah liga profesional gred D dan tidak berdaya saing serta prestasi pasukan kebangsaan tiada hala tuju.

Selain itu, mereka mendakwa sistem bola sepak negara tiada visi dan misi yang jelas, pengurusan FAM tidak efisien serta tiada akauntabiliti dan wujudnya budaya tidak sihat berikutan status presiden FAM.

Sebelum ini, PFSLJ yang ditubuhkan pada 2009, menggesa agar rombakan besar-besaran dilakukan terhadap FAM dengan segera supaya mutu bola sepak tanah air lebih maju, di samping pucuk pimpinan baharu akan mempunyai idea baharu dan moden untuk pembangunan bola sepak Malaysia.

Mengulas lanjut, Al Fadli juga membidas FAM yang menyatakan ranking dunia tidak penting sedangkan kedudukan itu perlu dalam menentukan posisi pasukan kebangsaan di pentas antarabangsa.

Beliau turut menyelar badan induk bola sepak negara itu yang 'pilih kasih' atau tidak adil dalam menjatuhkan hukuman terhadap sesetengah individu atau pasukan yang didapati bersalah membabitkan saingan Liga Malaysia.

Justeru, beliau menggesa anggota kongres FAM agar berani meluahkan apa yang tidak betul dalam persatuan berkenaan demi pembangunan bola sepak negara.

Dalam pada itu, beliau memuji tindakan FAM yang memberi banyak peluang kepada pemain muda beraksi bersama kelab luar negara dan berharap usaha itu akan berterusan. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain