suria

Nicol, Beng Hee Mara Ke Suku Akhir

KUALA LUMPUR: Ratu skuasy negara Datuk Nicol David mengorak langkah ke suku akhir dalam misi memburu kejuaraan kesembilan apabila menundukkan pemain Mesir Omneya Abdel Kawy, pada pusingan kedua Kejohanan CIMB Terbuka Kuala Lumpur 2013 di sini, malam Khamis.

Selain Nicol, pemain utama negara Ong Beng Hee turut mara ke saingan suku akhir dalam acara lelaki apabila pilihan ketiga Omar Mossad dari Mesir berundur pada set keempat akibat kecederaan hamstring.

Beng Hee memulakan saingan dengan ketinggalan 9-11 pada set pertama sebelum bangkit mencatatkan 11-6, 11-6 pada dua set berikut dan mendahului 9-4 pada set keempat apabila lawannya menarik diri.

Dalam pada itu, Nicol, selaku pemain nombor satu dunia dan pilihan utama pada kejohanan itu, hanya mengambil masa 46 minit untuk menyingkirkan Omneya, pilihan ke-14, dengan keputusasn 11-9, 11-7 dan 11-8.

"Pertemuan dengan Omneya sengit sepanjang perlawanan tetapi saya mampu mengikuti gaya sendiri," kata Nicol selepas perlawanan itu.

Pada perlawanan suku akhir esok, Nicol akan berdepan dengan pilihan kelapan, Jenny Duncalf dari England yang sebelum itu menumpaskan pemain India, Dipika Pallikal dengan keputusan 11-9, 11-5, 6-11 dan 11-4.

Bagaimanapun nasib tidak menyebelahi pemain nombor dua negara, Low Wee Wern apabila beliau mengalami kekejangan otot pada betis kirinya pada pertarungan selama sejam 36 minit.

Wee Wern, pemain pilihan keenam, akhirnya terpaksa akur dengan kelincahan pemain Ireland, Madeline Perry, yang mencatatkan keputusan 12-10, 7-11, 8-11, 11-8, 11-4.

"Saya mengalami kekejangan otot pada set keempat dan saya mula hilang rentak sebelum Madeline mengambil kesempatan untuk menguasai permainan. Saya amat kecewa," kata Wee Wern.

Sementara itu, pemain Belanda Natalie Grinham menempah tempat ke suku akhir apabila melakukan kejutan besar dengan menyingkir pemain nombor dua dunia Raneem El Weleily dari Mesir.

Natalie, pilihan ke-11 dan nombor 12 dunia, mengambil masa 48 minit untuk mengalahkan Raneem dengan keputusan 11-6, 12-14, 11-8 dan 11-6.

Dalam acara lelaki, tiga lagi wakil negara gagal meneruskan saingan apabila kalah kepada lawan masing-masing.

Pemain nombor dua negara Mohd Nafiizwan Adnan kalah kepada pemain pilihan keempat, Borja Golan dari Sepanyol dengan keputusan 11-7, 8-11, 11-7, 11-4 manakala Ivan Yuen tunduk kepada pilihan utama, Karim Darwish dari Mesir dengan keputusan 11-5, 11-4, 11-5.

Pemain 'wildcard' negara Muhd Asyraf Azan mengalami kekalahan di tangan pemain Switzerland, Nicolas Mueller dengan catatan 11-5, 11-6 dan 11-4. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain