suria

Kejuaraan Cub Prix 2013 Perkenal Format 'Shoot-Out'

KUALA LUMPUR: Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia Petronas 2013 yang memasuki edisi ke-20 tahun ini, akan memperkenal format baharu perlumbaan khususnya bagi kategori CP115.

Promoter kejuaraan, Safe Aim Mutual Sdn Bhd (SAM) memperkenalkan peraturan baharu 'shoot out' itu bagi menentukan grid pelumba dalam saingan kelas perlumbaan CP115, menggantikan pusingan saringan yang diguna pakai sebelum ini.

Pengarah Promosi SAM, Ron Hogg berkata menerusi format baharu itu, 10 pelumba terbaik pada sesi ujian masa secara automatik layak ke pusingan 'shoot out' dan akan bersaing bagi menentukan grid permulaan untuk perlumbaan akhir.

Berbeza dengan sesi Superpole yang digunakan dalam kategori CP130 di mana pelumba akan keluar ke litar bersendirian, 10 pelumba itu akan bersaing secara serentak untuk mendapatkan catatan masa terpantas manakala baki pelumba lain akan ditentukan grid mereka berdasarkan catatan masa terpantas sesi ujian masa.

"Format ini bagi memastikan semua pelumba memberi sepenuh komitmen semasa sesi ujian masa," katanya kepada Bernama selepas majlis pelancaran kejuaraan berkenaan di sini hari ini.

Hogg berkata antara perubahan lain yang diperkenalkan ialah peningkatan jumlah pusingan perlumbaan akhir bagi tiga kelas terbuka di mana kategori CP130 menjadi 18 pusingan berbanding 15, kategori CP115 ditambah kepada 15 berbanding 12 pusingan dan pertambahan dua pusingan dalam kategori Wira menjadikan 12 pusingan keseluruhan.

Juara kategori CP115 musim 2012, Md Amirul Ariff Musa pula melaungkan keyakinan dapat mempertahankan kejuaraannya pada saingan musim ini dengan pengenalan format baharu itu.

Sementara itu, Pengurus Besar Petronas Motorsports Anita Azrina Abdul Aziz berkata perlumbaan tahun ini adalah yang ke-10 syarikat berkenaan menjadi penaja kejuaraan berkenaan.

Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia Petronas 2013 bermula 6 April hingga 8 Disember melibatkan perlumbaan di Pulau Pinang, Melaka, Terengganu, Johor, Perak, Negeri Sembilan dan Selangor. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain