suria

Nafiizwan Tepati Ramalan Ke Peringkat Seterusnya

KUALA LUMPUR: Pemain lelaki nombor dua negara, Mohd Nafiizwan Adnan tidak menghadapi tekanan untuk melangkah ke peringkat seterusnya pada pusingan kelayakan Kejohanan Skuasy Terbuka Kuala Lumpur 2013.

Pada saingan kelayakan pertama di Pusat Skuasy Nasional, Bukit Jalil pada Selasa, Mohd Nafiizwan mengalahkan pemain remaja kebangsaan, Sanjay Singh dengan 11-5, 8-11, 11-9 dan 11-5 dalam tempoh 45 minit.

"Saya tidak merasa tekanan bila bermain dengan pemain pelapis. Bagaimanapun saya berbangga kerana Sanjay berjaya menampilkan mutu permainan yang begitu baik.

"Pada perlawanan berikutnya saya perlu lupakan semua apa yang berlaku hari ini dan memberi tumpuan terhadap perlawanan demi perlawanan," kata pemain berusia 26 tahun dari Terengganu itu.

Menurut beliau, sasaran beliau kali ini adalah untuk sampai ke peringkat suku akhir.

"Dalam kejohanan yang sama sebelum ini, saya pernah beraksi dalam undian utama sebanyak dua kali," katanya.

Beliau akan bertemu dengan pemain dari India, Harinder Pal Sandhu pada perlawanan kelayakan kedua pada Rabu.

Turut melangkah ke pusingan kelayakan kedua ialah Ivan Yuen dan Elvinn Keo, yang akan bersaing sesama mereka untuk merebut tempat ke pusingan pertama undian utama.

Sementara dalam kategori wanita, Zulhijjah Azan menjadi pemain tunggal negara yang berjaya melepasi pusingan kelayakan.

Beliau akan menyertai pemain nombor satu dunia, Datuk Nicol Ann David, Low Wee Wern dan Delia Arnold dalam pusingan pertama undian utama pada Rabu.

Pemain berusia 23 tahun itu akan bertemu pilihan ke-11, Natalie Grinham dari Belanda.

"Ini kali pertama saya berjaya melayakkan diri ke undian utama selepas mencuba sejak tiga tahun lepas.

"Pada saingan kelayakan hari ini (Selasa), saya pernah bertemu dengan Liu beberapa kali dan saya kalah dengan dia," katanya, sambil menambah beliau tidak mahu merasa tertekan ketika bertemu Natalie pada Rabu. BERNAMA

Artikel Lain