suria

Skuasy: CIMB Jadi Rakan WSF Dalam Tawaran Sukan Olimpik 2020

KUALA LUMPUR: CIMB melafazkan sokongan terhadap Persekutuan Skuasy Dunia (WSF) membuat pembentangan kepada Lembaga Eksekutif Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) di St Petersburg, Russia, supaya skuasy dimasukkan sebagai acara dalam temasya Sukan Olimpik 2020.

"CIMB sudah lama menjadi penyokong skuasy...jadi kami tidak mahu ketinggalan dalam peluang ini bagi membantu sukan itu memenangi tempat dalam Sukan Olimpik.

"Satu tawaran yang berjaya akan mengangkat status sukan itu di seluruh dunia serta banyak membantu pemain profesional," kata Ketua Eksekutif Kumpulan CIMB, Datuk Seri Nazir Tun Razak, di sini.

Bagi menandakan pengumuman penajaan yang membolehkan CIMB sebagai 'Rakan Tawaran Olimpik WSF', Nizar menandatangani dokumen 'WSF's BackTheBid202' dan menyerahkannya kepada wakil WSF, pemain wanita nombor satu dunia, Datuk Nicol David.

Pengumuman itu dibuat sempena penajaan utama CIMB selama lapan kali berturut-turut Kejohanan CIMB Nicol David Terbuka Kuala Lumpur 2013 dari 26 hingga 31 Mac ini di sini.

Sementara itu, Nicol melahirkan penghargaan kepada CIMB atas matlamat melihat kepentingan acara sukan itu disenaraikan dalam temasya Sukan Olimpik dan keputusan menyokong kempen itu.

"Dunia skuasy benar-benar teruja bahawa CIMB tampil untuk memberikan WSF suntikan semangat untuk kempen tersebut. Terima kasih sekali lagi kepada CIMB atas usaha besar ini bagi menyokong skuasy mencapai impian Olimpik," katanya.

Lembaga Eksekutif IOC telah menyenarai pendek lapan jenis sukan untuk dipertimbangkan untuk Sukan Olimpik 2020 iaitu gusti, besbol/bola lisut, karate, sukan kasut roda, sukan memanjat, skuasy, sukan luncur air dan wushu.

Kesemua persatuan sukan berkenaan dijadual membuat pembentangan kepada Lembaga Kesekutif IOC di St Petersburg pada Mei ini.-BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain