suria

Harimau Malaya Janji Persembahan Terbaik Pada Perlawanan Amal Dengan Palestin

KUANTAN: Pengendali skuad Harimau Malaya, Datuk K. Rajagobal yakin pemainnya akan memberi persembahan terbaik walaupun tanpa kelibat beberapa pemain utama dalam pertemuan dengan Palestin pada perlawanan amal antarabangsa di Stadium Darul Makmur di, sini, malam Selasa.

Katanya, beliau mahu momentum kemenangan 2-1 dengan Yaman dalam aksi kelayakan Piala Asia 2015, Jumaat lepas, dapat diteruskan bagi mengekalkan prestasi baik pasukan itu.

Rajagobal berkata, walaupun ketiadaan beberapa pemain Kelantan dan PKNS dalam skuad kebangsaan yang beraksi pada perlawanan pusingan kedua Piala FA malam Isnin namun ia tidak akan menjejaskan persiapan skuad negara untuk pertemuan itu.

"Pemain berkenaan ialah Khairul Fahmi Che Mat, Mohd Badhri Mohd Radzi, Mohd Shakir Shaari dan Mohd Helmi Remeli.

"Bagi Norshahrul Idlan Talaha dan Wan Zack Haikal Wan Nor, masing-masing mempunyai komitmen keluarga selain akan berangkat ke Jepun malam ini," katanya kepada pemberita di sini, Isnin.

Beliau juga turut memaklumkan kepada pemainnya bahawa semua perlawanan yang disertai amat penting termasuk perlawanan amal berkenaan yang akan menjadi panduan kepada mereka dalam meningkatkan mutu permainan.

Dalam pada itu, jurulatih Palestin Jamal Mahamoud menganggap pertemuan dengan Malaysia merupakan satu misi bagi mencapai kemenangan walaupun dalam perlawanan persahabatan.

Selepas kalah 2-1 kepada Kuwait pada perlawanan persahabatan baru-baru ini, beliau berharap dapat memperkemaskan lagi pasukan sambil mengakui Malaysia memiliki barisan pemain mantap apabila mengalahkan Yaman.

Sementara itu,Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Datuk Azzuddin Ahmad, yang turut hadir pada sidang media itu, berkata perlawanan amal tersebut bertujuan untuk mengisi Tabung Perwira Lahad Datu dan Palestin dengan mensasarkan kutipan sebanyak RM1 juta.

"Orang ramai yang ingin menyaksikan perlawanan tersebut boleh mendapatkan tiket di Stadium Darul Makmur di sini dengan harga RM20 untuk dewasa dan RM10 bagi kanak-kanak," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain