suria

GP M'sia: Lewis Hamilton Masih Ingat Dia Memandu Untuk McLaren

LEWIS HAMILTON kini memandu untuk pasukan Mercedes-Petronas tetapi pada perlumbaan di Grand Prix Malaysia pada Ahad dia telah melakukan kesilapan dengan berhenti di ruang pit pasukan lamanya McLaren untuk menukar tayar.

Di sebalik kesilapan yang tidak disengajakan itu, Hamilton masih mampu menduduki tempat ketiga dan membawa pulang trofi yang pertama untuknya atas nama pasukan Mercedes.

Kejadian yang memalukan itu berlaku pada pusingan ke-7 dan tidak disedari oleh ramai penonton.

Kakitangan dan staf teknikal McLaren sebenarnya terkejut dengan kedatangan Hamilton di tempat mereka untuk menukar tayar tetapi mereka secara spontan membenarkan dia terus berlalu tanpa sebarang insiden yang tidak diingini.

Cuma Hamilton bernasib baik kerana ruang pit untuk pasukannya berada dua blok di hadapan ruang pit McLaren.

Ini kerana jika dia terlajak dia tidak dapat berpatah balik kerana semua kenderaan F1 tidak mempunyai gear undur.

Ketika Hamilton melakukan kesilapan itu, kamera menunjukkan kekasihnya, Nicole Scherzinger, memberikan reaksi terkejut.

Hamilton kemudiannya dipetik sebagai berkata; “Ini semua adalah sebahagian daripada sikap lama yang masih belum padam...bayangkan saya memandu untuk pasukan itu selama enam musim dan sentiasa menyaksikan pakaian seragam yang sama selama itu. Ia tidak dapat dielakkan."

Insiden ini katanya berlaku dengan begitu pantas dalam masa beberapa saat.

Hamilton kemudian merujuk insiden ini sebagai “Doing a Jenson” — iaitu merujuk kepada insiden yang sama yang berlaku kepada bekas rakan sepasukannya di McLaren Jenson Button yang pernah berhenti di ruang pit pasukan Red Bull (iaitu pasukan lama Jenson) pada Grand Prix China dua tahun lalu.

Button berkata, dia memahami sepenuhnya situasi yang berlaku pada Hamilton itu kerana insiden yang sama pernah berlaku padanya.

Dalam pada itu, Hamilton mengakui bahawa yang sepatutnya menaiki podium untuk mengutip trofi tempat ketiga ialah rakan sepasukannya Nico Rosberg yang diarahkan oleh pasukan supaya memberi laluan kepada Hamilton untuk tempat ketiga.

Rosberg menduduki tempat keempat walaupun sebenarnya kereta yang dipandunya berada dalam kedudukan yang lebih baik untuk menduduki tempat ketiga dan lebih laju.

Pemandu Jerman beusia 27 tahun itu mematuhi arahan yang dikeluarkan oleh Prinsipal Mercedes, Ross Brown dan mengizinkan Hamilton memintas pada selekoh terakhir sebelum garisan penamat.

Maka tidak hairanlah mengapa wajah Hamilton tidak sedikit pun ceria ketika berada di atas podium untuk menerima hadiah kerana dia sendiri mengakui yang dia tidak sepatutnya berada di atas pentas.

Sebaik sahaja selesai upacara penyampaian trofi, Hamilton terus ke bilik persalinan untuk bertemu Nico dan meminta maaf kepadanya tetapi Nico memahami yang kemenangan pasukan adalah jauh lebih penting daripada kemenangan peribadi.

Artikel Lain