suria

Pengurus Pasukan Ke ACC Sudah Kemuka Laporan Ke MSN Berhubung Lagu Negaraku

MUAR: Laporan mengenai isu kecuaian untuk menampilkan lagu 'Negaraku' dan bendera Malaysia semasa pelumba negara memenangi pingat emas di Kejohanan Berbasikal Asia (ACC) di New Delhi, India, baru-baru ini, sudah dikemukakan kepada Majlis Sukan Negara (MSN).

Pengurus Pasukan, Ibrahim Mustapa berkata beliau sudah menghantar laporan mengenai perkara itu kepada pihak MSN sejurus tiba dari India dan menjelaskan tentang salah faham mengenai hal itu.

Bercakap kepada pemberita di akhir kejohanan lumba basikal GP Kebangsaan Sirkit 1, 2013 di Dataran Tanjung Emas, di sini, Ahad, Ibrahim yang juga Setiausaha Kehormat Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia menafikan kecuaian seumpama itu berlaku.

Isu berkenaan mula didedahkan jaguh lumba basikal kebangsaan, Azizulhasni Awang menerusi laman sosial Twitter dan Facebooknya.

Kejadian itu dikatakan berlaku apabila pelumba negara Muhammad Firdaus Mohd Zonis menyumbang emas pertama negara dalam acara 1km ujian masa kategori remaja.

Ketika itu, rakaman lagu kebangsaan itu dikatakan berada dalam simpanan Ibrahim yang berada di Taj Mahal semasa majlis itu berlangsung, bagi meraikan pelumba paralimpik. BERNAMA

Artikel Lain