suria

Malaysia Tercalon Bidaan Tuan Rumah Hoki Piala Dunia 2018

KUALA LUMPUR: Malaysia terpilih antara negara yang tersenarai dalam bidaan bagi menganjurkan kejohanan terbesar hoki iaitu Piala Dunia pada 2018.

Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah bertitah Malaysia dan lima negara lain disenarai pendek untuk ke pusingan kedua bidaan sebagai penganjur Piala Dunia 2018.

"Saya berharap dengan adanya pasukan yang berpotensi ketika ini, kita bersedia untuk menjadi tuan rumah bagi kejohanan Piala Dunia 2018 nanti", titahnya kepada pemberita selepas mesyuarat MHC di sini, Ahad.

Negara tersenarai akan mengikuti kursus berkaitan syarat penganjuran Piala Dunia pada April ini, dan negara yang terpilih untuk menjadi tuan rumah akan diputus pada November depan.

Lima negara lain yang tersenarai ialah England, India, Australia, New Zealand dan Belgium.

Bagi meraih tiket melangkah ke Piala Dunia 2014 di Belanda, skuad kebangsaan akan berdepan dua kejohanan penting iaitu Liga Dunia pusingan separuh akhir dari 29 Jun hingga 3 Julai di Johor, dan Piala Asia di Ipoh, Perak dari 23 hingga 31 Ogos.

"Saya berharap pemain sedar akan hakikat ini dan mengambil dua peluang bermain di Malaysia ini sebagai persiapan ke Piala Dunia.

"Mereka harus memberi tumpuan pada kecergasan, kemahiran dan disiplin tidak kira pemain lama mahupun yang baharu", titah Tengku Abdullah.

Tengku Mahkota Pahang itu yakin skuad hoki kebangsaan di bawah kendalian jurulatih Paul Revington akan membawa pasukan negara ke satu kejayaan yang boleh dibanggakan bersama.

Kali terakhir skuad kebangsaan layak ke Piala Dunia ialah pada 2002 di Kuala Lumpur dengan meraih tempat kelapan, dan pencapaian terbaik Malaysia pada Piala Dunia adalah tempat keempat pada 1975. - BERNAMA

Artikel Lain