suria

Tiada Perubahan Hadapi GP Malaysia - Raikkonen

SEPANG: Bekas juara Formula One (F1) dunia, Kimi Raikkonen tidak akan mengubah persediaan pada perlumbaan Petronas Grand Prix Malaysia Ahad ini selepas menjuarai GP Australia minggu lepas.

"Kita tidak buat apa-apa yang berbeza pada hujung minggu ini daripada kita lakukan pada perlumbaan sebelum ini mahupun tahun lepas. "Jika orang berfikir bahawa kita adalah peneraju...ia tidak membawa apa-apa perbezaan kepada corak persediaan kami. Kami akan cuba melakukan yang terbaik dan harap dapat mengumpul mata yang baik," kata pelumba pasukan Lotus F1 itu pada sidang media di Pusat Media SIC di sin, Khamis.

Kejayaan pada pusingan pertama GP Dunia di Melbourne, Australia, Ahad lepas, merupakan kemenangan kedua selepas beliau kembali semula ke F1 tahun lepas setelah tidak beraksi selama dua tahun.

Raikkonen mencapai kemenangan sulung F1 di Sepang pada 2003 dan mengulangi pencapaiaan itu pada 2008.

"Ia adalah baik untuk memenangi perlumbaan pertama tetapi sepatutnya kita harus menang tahun sebelum itu... jadi ia adalah baik untuk kembali ke sini.

"Saya tidak meminati suhu panas dan lembab di sini tetapi litar di sini adalah bagus. Oleh itu, kita tahu serba sedikit cabaran perlumbaan di sini. Biasanya ia memberi keputusan baik dan itulah yang amat penting," katanya. -BERNAMA

Artikel Lain