suria

Pengurus England Akui Terkejut Dengar Berita Rio Ferdinand Tolak Sertai Skuad K'saan Untuk Jadi Pengulas Jemputan TV

Roy Hodgson
Roy Hodgson
Roy Hodgson

PENGURUS ENGLAND, Roy Hodgson mengakui yang beliau terkejut apabila mendapat tahu yang pemain pertahanan Manchester United, Rio Ferdinand memberi alasan tidak dapat mewakili negaranya dalam perlawanan pra kelayakan Piala Dunia atas sebab kesihatan tetapi kemudian bersetuju untuk terbang ke Qatar sebagai pengulas jemputan sebuah televisyen swasta.

Rio yang tidak dipanggil menyertai skuad kebangsaan sejak Roy mengambilalih pengurusan England telah disenaraikan semula ekoran prestasinya yang konsisten sejak tiga bulan yang lalu.

Bagaimanapun pemain itu kemudiannya bertemu dengan Roy untuk memaklumkan yang dia tidak dapat menyertai skuad England kerana perlu melalui proses rejim pemulihan kecederaan yang ketat yang telahpun disediakan oleh kelabnya.

Hodgson menerima alasan itu tanpa sebarang prejudis tetapi kemudian terkejut apabila akhbar The Sun mendedahkan yang Ferdinand telah bersetuju untuk menjadi pengulas perlawanan antara England dan San Marino malam ini atas jemputan sebuah stesen televisyen Qatar.

Kini setelah kecewa dengan maklumat terbaru yang diterimanya itu, Hodgson telah mengambil pendirian "tunggu dan lihat" berhubung masa depan Ferdinand bersama skuad England pada masa akan datang.

Pengurus England itu telah menerima kritikan yang berpanjangan kerana enggan memanggil semula Ferdinand menyertai skuad kebangsaan dan kini selepas dia akur dengan desakan tersebut, jelas sekali siapakah yang sebenarnya enggan bermain untuk skuad negara itu.

“Walaupun saya menerima desakan dan kritikan tetapi saya sentiasa berpegang yang dia (Ferdinand) sekiranya dipilih adalah atas dasar merit.

“Tetapi kali ini dia memberitahu saya yang dia tidak dapat menyertai skuad kebangsaan kerana program pemulihan kecederaan yang sedang dia jalani bersama kelabnya dan dia tidak mahu menganggu susuan jadual tersebut,” kata Hodgson.

Ferdinand, 34, telah mewakili England sebanyak 81 kali.

Dan ketika ditanya tentang keputusan Ferdinand untuk terbang selama 15 jam ke Doha untuk muncul dalam program Al Jazeera sebagai pengulas perlawanan malam ini, Hodgson secara diplomatik hanya mengatakan: “Bukan urusan saya untuk masuk campur dengan hal ehwal pemain dan kelabnya."

“Ya saya memang kecewa dia tidak dapat menyertai skuad kita kali ini dan selepas itu fokus saya ialah untuk mencari pengantinya. Dan saya tidak fikir sekarang adalah waktu yang sesuai untuk bercakap tentang masa depan pemain itu bersama England dan apa yang akan berlaku pada masa hadapan," ujarnya lagi.

Artikel Lain