suria

KLHC Tekad Pertahan Gelaran Liga Hoki Malaysia

KUALA LUMPUR: Juara bertahan, Kelab Hoki Kuala Lumpur (KLHC) bertekad mempertahankan kejuaraan buat kali keempat berturut-turut apabila saingan Liga Hoki Malaysia (LHM) Piala TNB 2013, membuka tirai esok.

Jurulatih KLHC, K. Dharmaraj berkata walaupun kehilangan enam tonggak utama yang berhijrah kepada pasukan pendatang baharu, Terengganu, KLHC masih mampu memberi saingan pada kejohanan tersebut.

"Sebagai pemain mahupun jurulatih, kami mahu memenangi setiap kejohanan. Begitu juga pada kali ini walaupun KLHC kehilangan beberapa pemain utama yang berhijrah ke pasukan Terengganu.

"Bukan sesuatu perkara mudah untuk mempertahankan kejuaraan, namun ia juga bukan sesuatu yang mustahil," katanya yang juga jurulatih skuad junior kebangsaan, di sini, Khamis.

Enam pemain kebangsaan yang meninggalkan KLHC dan menyertai Terengganu ialah Mohd Shahrun Nabil, Tengku Ahmad Tajuddin, Azlan Misron, Ismail Abu, Mohd Ameerullah Aziz dan Fitri Saari.

Mengenai aksi pembukaan menentang UniKL di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil esok, Dharmaraj berkata KLHC tidak akan mengambil mudah perlawanan tersebut walaupun lawan mereka dibarisi ramai pemain muda.

"UniKL mempunya ramai pemain berbakat daripada skuad junior kebangsaan dan saya tahu keupayaan mereka. Mana-mana pasukan tidak sepatutnya memandang ringan terhadap pasukan tersebut dan perlu lebih berhati-hati," katanya.

Selain KLHC dan UniKL, lima lagi pasukan yang beraksi dalam saingan Premier LHM 2013 ialah naib juara TNB, Maybank, Sapura, Nur Insafi Warriors dan Terengganu. -BERNAMA

Artikel Lain