suria

Pemain Thailand, Kiradech Muncul Pendahulu Pusingan Pertama Terbuka Malaysia

KUALA LUMPUR: Pemain muda Thailand Kiradech Aphibarnrat muncul pendahulu sementara Kejohanan Golf Maybank Terbuka Malaysia 2013 selepas pusingan pertama di Kuala Lumpur Golf & Country Club (KLGCC) di sini, pada Khamis.

Pemain berusia 24 tahun itu, yang menduduki ranking ketiga Asia, mendahului kejohanan bernilai US$2.75 juta (RM8.586 juta) dengan kelebihan satu pukulan apabila melakarkan tujuh bawah par 65.

Bagaimanapun, lebih 100 daripada 178 pemain termasuk 22 pemain amatur tidak dapat menamatkan pusingan pertama apabila hujan dan petir menyebabkan penganjur menangguhkan saingan pada pukul 5 petang Khamis.

Pemain berkenaan akan menyambung semula pusingan pertama pada pukul 7.45 pagi esok. "Ini merupakan pusingan yang baik. Akhirnya saya dapat melakukan banyak pukulan putt. Memang sukar cari rentak untuk seketika...jadi elok untuk dahului pusingan pertama," kata Kiradech. Mengikuti rapat ialah tiga pemain Anders Hansen (Denmark), Edoardo Molinari (Italy) dan pemain Perancis Gregory Bourdy, yang masing-masing melakarkan enam bawah par 66.

Pemain profesional tempatan, S. Murthy, turut menampilkan persembahan menggalakkan apabila mencatatkan lima bawah par 67 untuk berkongsi kedudukan dengan Victor Dubuisson dari Perancis.

Bagaimanapun beberapa pemain utama termasuk bekas juara 2011 Matteo Manassero dari Itali dan pemain nombor 17 dunia, Charl Schwartzel dari Afrika Selatan akan menyambung pusingan pertama esok.

Schwartzel, yang memulakan saingan pada sebelah petang, hanya sempat melengkapkan 11 lubang dengan pencapaian terbaik pukulan 'eagle' pada lubang kelima par lima manakala Manasserro hanya menyudahkan 10 daripada 18 lubang.

Manasserro, membenam dua birdie pada lubang pertama dan keempat. -BERNAMA

Artikel Lain