suria

MSN Perkenal Muay Thai, Woodball & Bola Sepak Pada Sukma 2013

KUALA LUMPUR: Acara Muay Thai dan Woodball akan diperkenalkan pada temasya Sukan Malaysia (SUKMA) ke-16 di Lembah Klang dari 28 Jun hingga 7 Julai ini, menurut Majlis Sukan Negara (MSN).

Ketua Pengarahnya Datuk Seri Zolkples Embong berkata kedua-dua acara itu mendapat sambutan memberangsangkan sejak kebelakangan ini walaupun acara woodball tidak mendapat penyertaan cukup pada Sukma 2011.

"MSN memilih acara itu berdasarkan bilangan persatuan serta atlet dalam dua acara itu di setiap negeri," katanya pada sidang media sempena 100 hari menjelang Sukma 2013 di Kompleks Sukan Bukit Jalil, di sini Rabu.

Selain dua acara itu, MSN juga akan memperkenalkan bola sepak pantai.

Katanya sebanyak 20 acara akan dipertandingkan tahun ini dengan penyertaan seramai 7,000 atlet dan pegawai daripada 14 buah negeri.

Antara acara sukan ialah akuatik (polo air dan renang berirama), bina badan, bola baling, bola jaring, bola keranjang, bola sepak, bola tampar (pantai dan dewan), ekuestrian, judo, kabadi, kriket, gimnastik dan lawan pedang.

Zolkples berkata Universiti Putra Malaysia (UPM) dipilih sebagai perkampungan sukan pada edisi tahun ini kerana lokasinya yang lebih sesuai serta berhampiran venue pertandingan.

Beliau berkata kos penganjuran Sukma ke-16 tidak melepasi anggaran RM9 juta, sama seperti pada edisi lepas.

Beliau berkata bagi mengelak masalah pertindihan pendaftaran atlet, MSN akan memperkenalkan sistem mesyuarat pendaftaran pra delegasi iaitu sistem yang digunakan pada temasya sukan bertaraf dunia.

"Kalau boleh kita ingin jimatkan masa dan tenaga agar urusan pendaftaran atlet dan acara sukan dapat diproses sebelum mesyuarat pengurus pasukan yang diadakan sebelum kejohanan bermula," katanya.

Beliau berkata pasukan negeri boleh mendaftar atlet mereka secara atas talian sebelum 30 April ini.

Beliau berkata majlis pembukaan Sukma 2013 akan diadakan pada 28 Jun, manakala majlis penutup pada 7 Julai, di Stadium Mini MSN. BERNAMA

Artikel Lain