suria

Manassero Sasar Kejuaraan Kedua Terbuka Malaysia Di KLGCC

KUALA LUMPUR: Bintang remaja sensasi Itali, Matteo Manassero telah menyasarkan gelaran kedua Kejohanan Golf Terbuka Malaysia Maybank 2013 yang bermula pada Khamis selepas meraihnya pada 2011.

"Ia satu perasaan yang bagus untuk kembali ke Malaysia selepas memenangi gelaran pada 2011 dan diharapkan saya boleh mengulangi pencapaian ini pada tahun ini," katanya.

Manaserro, 19, yang menjadi pemain profesional pada 2010, berkata demikian kepada pemberita selepas menyertai Klinik Golf Remaja Maybank di Kuala Lumpur Golf & Country Club (KLGCC) di Bukit KIara, di sini, Rabu.

Katanya beliau menjangka akan menerima lebih banyak saingan tahun ini memandangkan kesukaran lapangan serta kehadiran pencabar seperti pemain nombor tiga dunia Luke Donald dari Engtland dan pemain veteran Ireland, Padraig Harrington.

"Saya amat sesuai dengan lapangan ini. Ia direka dengan begitu baik sekali dan anda hanya perlu meletakkan bola di fairway dengan pukulan driver berbanding pukulan jauh. Saya memang menyukai permainan di sini," katanya.

Seramai 100 peserta berusia antara 5 dan 16 tahun menyertai klinik latigan itu yang dikendalikan oleh pemain profesional tempatan Danny Chia.

Sementara itu, Chia berkata beliau mahu menebus kekecewaan aksi buruk tahun lepas pada edisi tahun ini.

"Saya harap nasib akan menyebelahi saya kali ini dan menhargai panduan jurulatih Steven Giuliano yang membantu memperbaiki prestasi saya sejak beberapa tahun lepas," kata pemain berusia 39 tahun yang gagal layak ke pusingan akhir pada edisi tahun lepas.

Selain Chia, cabaran Malaysia akan digalas oleh pemain Airil Rizman Zahari, Shaaban Hussin dan Sukree Othman.

Kejohanan empat pusingan itu yang disertai oleh 156 pemain profesional dan 22 pemain amatur menawarkan hadiah menyeluruh bernilai US$2.75 juta (RM8.581 juta) serta Trofi Seagram. BERNAMA

Artikel Lain