suria

Malaysia Jadi Hos F1 Terbukti Satu Pelaburan Bijak - PM

Krew pasukan Ferrari menjalani latihan 'pit stop' menjelang perlumbaan Grand Prix Formula Satu Petronas Malaysia 2013 di Litar Antarabangsa Sepang, pada Khamis. Formula One Petronas berlangsung esok hingga 24 Mac.-fotoBERNAMA

SEPANG: Hak Malaysia menjadi tuan rumah perlumbaan berprestij Formula One (F1) Dunia telah terbukti menjadi satu pelaburan yang baik, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.

Perdana Menteri berkata perlumbaan F1 Grand Prix Malaysia yang diperkenalkan pada 1999 dan masuk edisi ke-15 tahun ini telah menjana ribuan peluang pekerjaan.

"Pada 2011 sahaja, Grand Prix Malaysia telah menjana lebih 4,700 peluang pekerjaan," katanya dalam perutusan di dalam buku program rasmi GP Malaysia 2013.

Beliau berkata sepanjang Grand Prix Malaysia hujung minggu ini, lebih 100,000 pelawat akan berkunjung ke negara ini dengan ramai daripada mereka mengambil peluang tinggal lebih lama untuk bersantai dengan berkunjung ke pulau-pulau indah atau menikmati keindahan kawasan hutan hujan.

Najib berkata ketika perlumbaan itu pertama kali diadakan, Malaysia sedang mula naik di pentas dunia.

"Ketika itu, bangunan kami yang paling ikonik, Menara Kembar Kuala Lumpur, baru sahaja dibuka. Malah, seluruh negara sedang dibuka kepada dunia. Mengalu-alukan pelabur, pelancong dan peluang baharu dan sebuah litar perlumbaan baharu di Sepang," katanya.

Sementara itu, Pengerusi Sepang International Circuit (SIC) Datuk Mokhzani Mahathir berkata menerusi publisiti dan media, perlumbaan F1 di Malaysia telah membentuk platform pemasaran dan promosi yang kukuh untuk negara.

"Walaupun F1 seolah-olah berkaitan tentang hiburan dan keseronokan namun kesan ekonomi dan pendedahan dunia kepada Malaysia adalah jelas, boleh diukur, wajar dan kos efektif," katanya dalam perutusannya. "Berpuluh-puluh ribu pelawat asing datang untuk menikmati perlumbaan Grand Prix pada hujung minggu dan mereka berkunjung ke bahagian lain di negara ini sebelum atau selepas perlumbaan ini," katanya.

Pembabitan secara langsung tiga pasukan F1 yang ada kaitan dengan Malaysia Mercedes AMG Petronas F1 Team, Lotus F1 Team dan Caterham F1 Team sekali lagi dijangka menarik lebih ramai penonton ke Litar SIC tahun ini.

Grand Prix Malaysia, pusingan kedua GP Dunia, bermula esok dengan sesi latihan rasmi sebelum perlumbaan, Ahad ini. -BERNAMA

Artikel Lain