suria

Malaysia Dipilih Tuan Rumah Siri Super Istaf 2013

KUALA LUMPUR: Malaysia buat julung kali dipilih sebagai tuan rumah bagi dua pusingan Kejohanan Siri Super Persekutuan Sepak Takraw Antarabangsa (Istaf) 2013 pada Mei dan Oktober ini.

Setiausaha Agung Istaf, Datuk Abdul Halim Kader berkata pusingan pertama akan diadakan di Paroi, Seremban, dari 16 hingga 19 Mei ini manakala pusingan keempat dan terakhir di Sabah dari 31 Oktober hingga 3 November ini.

Ketika mengumumkan Siri Super Istaf musim kedua pada sidang media di sini Khamis, beliau berkata pusingan kedua akan diadakan di Thailand dari 26 hingga 29 Jun dan pusingan ketiga di India dari 27 Ogos hingga 1 September.

Sebanyak 12 negara terbaik berdasarkan ranking dunia terbaru Istaf, bakal beraksi bagi kategori lelaki manakala lapan negara kategori wanita berentap dalam format antara regu ini.

Sempena dengan musim baharu itu, sebuah bengkel dua hari Kejohanan Siri Super itu bermula di sini hari ini dan disertai oleh pemimpin persatuan dari 14 negara.

Abdul Halim berharap menerusi bengkel itu, ia dapat mencetus idea dalam kalangan pemimpin Istaf bagaimana sukan itu dapat dipertingkatkan di peringkat dunia. -BERNAMA.

Artikel Lain