suria

Lapan Pemain Kebangsaan Jadi Tunggak Terengganu

KUALA TERENGGANU: Terengganu yang julung kali menyertai kejohanan Liga Hoki Kebangsaan musim ini bakal menyenarai 21 pemain termasuk lapan pemain kebangsaan.

Mereka akan turut diperkuat dengan kehadiran dua pemain remaja kabangsaan iaitu Mohamad Fazrul Faiz Ahmad Soberi dan Khaironizam Ibrahim sementara selebihnya merupakan pemain Piala Razak tahun lepas.

Pengurus pasukan Mohamad Saberi Salleh berkata bagaimanapun penyerang kelahiran Terengganu, Faizal Saari yang menunjukkan prestasi tinggi pada kejohanan Piala Sultan Azlan Shah di Ipoh sebelum ini tidak akan mewakili Terengganu kerana akan mewakili majikannya TNB pada kejohanan itu.

Mohamad Saberi yang juga Setiausaha Persatuan Hoki Negeri Terengganu berkata dalam kejohanan itu, Terengganu bakal dikenali sebagai 'Terengganu HT' yang dibimbing jurulatih berpengalaman Nik Rozemi Nik Mohamed.

Beliau berkata mereka akan menentang TNB selaku naib juara tahun lepas dalam perlawanan sulung di Stadium Bukit Jalil, Jumaat. - BERNAMA

Artikel Lain