suria

Pahang Tuan Rumah Majlis Penyampaian Anugerah AFF Pertama

KUALA LUMPUR: Persekutuan Bola Sepak Asean (AFF) akan mengadakan majlis penyampaian anugerah sulungnya di Pahang pada 3 April untuk memberi penghargaan kepada individu dan pasukan yang memberi sumbangan cemerlang dalam bidang bola sepak di rantau ini.

Presiden AFF Sultan Pahang Sultan Ahmad Shah bertitah, pada majlis itu, 18 anugerah akan disampaikan kepada mereka yang mempamerkan pencapaian cemerlang dalam bidang bola sepak di rantau ini.

"Asean melahirkan ramai bakat hebat hingga menjadikannya sebuah kuasa bola sepak yang digeruni. Kita semakin mendapat perhatian di peringkat global dan kini tibalah masanya, warga kita yang mengabdikan hidup mereka terhadap evolusi dan martabat sukan yang paling popular di dunia ini, diberi penghargaan," titah baginda dalam kenyataan pada Selasa.

Sultan Ahmad Shah, yang juga pengerusi Jawatankuasa Pemilih Anugerah AFF, bertitah oleh kerana bola sepak di rantau ini semakin maju dan matang, maka komitmen yang dipamerkan mereka yang paling hebat dalam bidang itu di rantau Asean, perlu diberi penghargaan.

"Kami akan membuat penilaian dengan teliti sebelum memasukkan mereka ke dalam senarai terpilih dan seterusnya memilih pemenang, suatu proses yang amat sukar kerana para calon telah banyak menyumbang terhadap sukan ini.

"Calon yang kami terima bagi setiap kategori amat berbakat dan perlu diberi pujian kerana sumbangan mereka. Sesungguhnya, kesemua mereka ialah pemenang dalam bidang masing-masing," titah baginda.

Anugerah berkenaan ialah Pengadil Terbaik AFF (lelaki & wanita), Persatuan Terbaik AFF, Pemain Terbaik AFF (lelaki & wanita), Pasukan Terbaik AFF, Jurulatih Terbaik AFF (lelaki & wanita) dan Pasukan Futsal Terbaik AFF.

Penghargaan lain ialah Anugerah Perkhidmatan Sepanjang Hayat AFF, Anugerah Sumbangsih AFF, X1 Terbaik AFF, Gol Terbaik Piala AFF Suzuki 2012, Penolong Pengadil Terbaik AFF (lelaki & wanita), Pemain Belia Terbaik AFF, Pemain Futsal Terbaik AFF dan Pasukan Kebangsaan Terbaik AFF (lelaki & wanita).

Tengku Mahkota Pahang Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah, selaku pengerusi Jawatankuasa Penganjur Anugerah AFF 2013, mengucapkan terima kasih kepada penaja yang memberi sokongan kepada acara itu. Ketika melahirkan kegembiraan baginda kerana bintang Asean akhirnya diberi pengiktirafan di rantau sendiri, Tengku Abdullah bertitah:

"Dedikasi mereka terhadap sukan ini menjadi inspirasi untuk kita semua. Anugerah ini diadakan tepat pada masanya iaitu ketika sukan bola sepak di Asean mencatat kejayaan besar.

"Dengan memberi pengiktirafan kepada bakat yang ada di rantau ini, kita sebenarnya menggalakkan dan mendorong kemajuan sukan bola sepak. Ini sepatutnya memberi perangsang kepada pemain dan pegawai untuk berusaha dengan lebih gigih bagi membawa sukan bola sepak ke tahap lebih tinggi."

Anugerah itu ditaja Tourism Malaysia, Telekom Malaysia, Genting Bhd, Kerajaan Negeri Pahang, Persatuan Bola Sepak Malaysia dan Hyatt Regency Kuantan Resort. BERNAMA

Artikel Lain