suria

Michael Owen Umum Persaraan Hujung Musim Ini

Michael Owen
Michael Owen
Michael Owen

BINTANG bolasepak England, Michael Owen mengumumkan pada Selasa yang dia akan bersara sebagai pemain menjelang akhir musim ini.

Pengumuman itu sememangnya telah dijangkakan selepas Owen gagal untuk pulih sepenuhnya daripada kecederaan lutut sejak sekian lama.

Pemain yang berusia 33 tahun itu buat masa ini hanyalah pemain simpanan kelab Liga Perdana Inggeris Stoke City.

Bagaimanapun sepanjang kariernya yang cemerlang itu, Owen telah mewakili England sebanyak 89 kali antara tahun 1998 hingga 2008 dan menjaringkan 40 gol untuk negaranya.

Beliau memulakan kariernya bersama kelab Liverpool pada usia remaja iaitu ketika berumur 17 tahun sebelum dibeli oleh Real Madrid pada tahun 2004.

Owen bermain dengan cemerlang bersama Real tetapi kariernya di Sepanyol tidak panjang kerana selepas semusim, Real menjualnya kepada Newcastle kerana khuatir kecederaan akan menjatuhkan nilai pasarannya.

Owen menghabiskan sebahagian besar tempoh lima musimnya di Newcastle di bilik fisioterapi sebelum Manchester United membelinya pada musim 2009.

Ketika bersama United, Owen tetap dibelenggu kecederaan tetapi masih mampu mengutip pingat Piala FA dan juga Liga Perdana.

Selepas tiga musim bersama United, kontrak Owen tidak diperbaharui dan Stoke mendapatkan khidmatnya dengan menandatangani kontrak jangka pendek.

Tetapi sekali lagi kecederaan telah menghadkan peluangnya untuk bermain secara regular.

MICHAEL OWEN SEPANJANG ZAMAN KEGEMILANGANNYA:

1979:

> Lahir 14 Disember di Chester, UK.

1995:

> Cipta rekod jaringan gol bersama pasukan England Bawah-15 Tahun.

1996:

> Bersama pasukan remaja Liverpool memenangi Piala FA Remaja England. Menandatangani kontrak sebagai pemain profesional bersama Liverpool pada hari lahirnya yang ke-17.

1997:

> Pada 6 Mei menjaringkan gol pertamanya untuk penampilan pertamanya bersama Liverpool ketika menentang Wimbledon.

> Kemudian pada 18 November menjaringkan hatrik pertama menentang Grimsby dalam persaingan Piala Liga.

1998:

> Pada 11 Februari, menjadi pemain termuda dalam sejarah moden yang pernah mewakili England menentang Chile.

> Kemudian pada 14 Februari menjaringkan hatriknya yang pertama dalam perlawanan liga menentang Sheffield Wednesday.

> Mengakhiri musim ini sebagai penjaring terbanyak liga dengan 18 gol.

> Pada 31 Mei dinamakan dalam skuad Piala Dunia England untuk kejohanan di Perancis.

> Pada 30 Jun, mencipta kemahsyuran apabila menjaringkan gol sensasi ketika menentang Argentina sebelum England tersingkir di peringkat suku akhir menerusi sepakan penalti.

2001:

> Menjaringkan gol kemenangan untuk Liverpool untuk menjulang Piala FA menundukkan Arsenal 2-1.

> Pada 1 September menjaringkan gol hatrik untuk England menundukkan Jerman 5-1 dalam perlawanan kelayakan Piala Dunia.

> 26 September menandatangani kontrak barau empat tahun bersama Liverpool.

> 17 Disember dinamakan sebagai pemain terbaik Eropah.

2002:

> Jun - menjaringkan gol menentang Denmark dan Brazil sehingga membawa England ke pusingan suku akhir Piala Dunia di Jepun.

2003:

> Pada 26 April menjaringkan gol liga perdananya yang ke-100.

> Pada 11 Jun dilantik sebagai kapten pasukan England dalam perlawanan menentang Slovakia dalam pusingan kelayakan Euro 2004 serta menjaringkan dua gol dalam kemenangan 2-1.

2004:

> Ogos - menyertai juara La-Liga, Real Madrid.

2005:

> Menjelang 23 Mei telah menjaringkan 16 gol untuk Real.

> 30 Ogos - kembali ke England bersama kelab Newcastle United dengan harga perpindahan sebanyak £17 juta.

> 31 Disember - patah kaki dalam perlawanan menentang Tottenham dan terpaksa direhatkan sehingga Jun 2006.

2006:

> 20 Jun kembali cergas dan bermain untuk England menentang Sweden dalam Piala Dunia tetapi sekali lagi tercedera dalam perlawanan itu dan terpaksa direhatkan selama sembilan bulan.

2007:

> 30 April - Owen diturunkan dalam perlawanan kompetatif pertama dalam tempoh 10 bulan dan bermain penuh 90 minit menentang Reading tetapi tewas 0-1.

2008:

> 19 Januari Dilantik sebagai kapten Newcastle oleh pengurus baru Kevin Keegan.

2009:

> Menjelang Mei, Owen menutup musim dengan menjaringkan 10 gol tetapi Newcastle tersingkir ke liga bawah pada hari terakhir musim.

> 22 Jun mengumumkan yang dia tidak akan menandatangani kontrak baru bersama kelab Newcastle.

> 3 Julai Owen menandatangani kontrak dua tahun untuk bermain bersama Manchester United.

> 22 September menjaringkan gol kemenangan untuk United menumpaskan musuh ketat Man City 4-3 pada masa kecederaan.

2010:

> 5 Mac Owen diisytiharkan cedera dan tidak dapat beraksi sepanjang musim.

2011:

> Menjelang Mei, Owen menerima pingat juara Liga Perdana Inggeris bersama United dan dinamakan sebagai pemain simpanan dalam perlawanan akhir Piala Liga Juara-Juara Eropah menentang Barcelona.

> 2 November - Diturunkan dalam perlawanan kumpulan, Liga Juara-Juara menentang Otelul Galati tetapi kemudian terpaksa dikeluarkan kerana kecederaan. Tidak lagi bermain bersama United selepas itu kerana cedera.

2012:

> 17 Mei - Mengumumkan menerusi ruangan Twitternya yang Manchester United tidak akan memperbaharui kontraknya lagi selepas tiga musim bersama kelab itu.

> 4 September - Sebagai ejen bebas, Owen menyertai Stoke City dengan menandatangani kontrak setahun.

> Pada 15 September melakukan penampilan pertama sebagai pemain Stoke sebagai pemain simpanan menentang Manchester City.

2013:

> 19 Mac mengumumkan persaraannya sebagai pemain pro menjelang akhir musim ini.

Artikel Lain