suria

Zakaria Dicabar Timbalannya Untuk Jawatan Presiden MGF

KUALA LUMPUR: Buat pertama kali dalam tempoh 35 tahun, jawatan presiden Persekutuan Gimnastik Malaysia (MGF) akan menyaksikan pertandingan pada Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) ke-18 persekutuan itu, esok.

Penyandang jawatan yang juga pengasas MGF, Prof Datuk Dr Zakaria Ahmad akan dicabar timbalannya, A. Razak Mat Amin yang juga Presiden Persatuan Gimnastik Terengganu bagi merebut jawatan utama itu.

Jawatan Timbalan Presiden MGF pula menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara bekas gimnas, Kaugit Kaur dan Presiden Persatuan Gimnastik Selangor, Lau Chee Chong.

Manakala, tiga jawatan Naib Presiden yang baharu diwujudkan dalam MGF, akan melibatkan pertandingan tujuh penjuru.

Mereka ialah Presiden Persatuan Gimnastik Pulau Pinang, Datuk Tan Ging Sung; Presiden Persatuan Gimnastik Sabah, Dr Rahmat Harun; Kaugit Kaur; Presiden Persatuan Gimnastik Putrajaya, Azni Hasan; Presiden Persatuan Gimnastik Sarawak, Helina Christene; Anggota Jawatankuasa (AJK) Persatuan Gimnastik Selangor, Dr Teh Lah Hoong dan AJK Persatuan Gimnastik Wilayah Persekutuan, Petrina Law Lai Hun.

Setiausaha Kehormat MGF, N. Shanmugarajah ketika dihubungi Bernama berkata menerusi perlembagaan baharu MGF, dua calon lelaki dan satu calon wanita akan mengisi jawatan naib presiden persekutuan itu.

Beliau berkata seramai 64 perwakilan daripada 13 gabungan MGF akan mengundi pada mesyuarat pemilihan tersebut yang akan diadakan di Wisma Majlis Olimpik Malaysia (MOM) bermula 11 pagi.

Selain pemilihan itu, Shanmugarajah berkata antara perkara yang bakal dibincangkan pada AGM itu ialah masalah kewangan yang dihadapi badan induk gimnastik negara itu.

"Pada masa ini, MGF bergantung sepenuhnya kepada MSN (Majlis Sukan Negara) bagi melaksanakan aktiviti yang dirancang," katanya.

Sementara itu, Azizah Juno mengekalkan kedudukannya sebagai Bendahari Kehormat MGF apabila menang tanpa bertanding jawatan berkenaan. -BERNAMA

Artikel Lain