suria

MSN Mahu Teliti Laporan PKBM Kerana Ada Percanggahan Maklumat -Zolkples

KUALA LUMPUR: Majlis Sukan Negara (MSN) mahu meneliti laporan Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) berhubung isu lagu 'Negaraku' tidak berkumandang ketika Malaysia memenangi pingat emas pertama pada Kejohanan Berbasikal Asia (ACC) di New Delhi, India, minggu lepas.

Ketua Pengarah MSN Datuk Seri Zolkples Embong berkata pihaknya perlu meneliti laporan berkenaan kerana terdapat percanggahan maklumat mengenai isu tersebut walaupun PKBM menganggap perkara itu sudah selesai.

"Mengikut laporan pegawai MSN yang berada di sana, berlaku percanggahan maklumat kerana lagu Negaraku memang dimainkan. "Namun kualiti bunyinya yang kurang memuaskan kerana lagu Negaraku dimuat-turun daripada Youtube pada saat (pelumba pelapis negara) Muhammad Firdaus Mohd Zonis naik ke podium," katanya ketika dihubungi Bernama.

Dalam laporan akhbar hari ini, Timbalan Presiden PKBM Datuk Naim Mohamad menganggap isu tersebut sudah selesai berikutan berlakunya salah faham.

Mengenai ketiadaan pengurus pasukan, Ibrahim Mustapha semasa 'kekecohan' itu berlaku, Naim berkata Ibrahim, yang juga Setiausaha PKBM, dilantik sebagai pengurus acara trek dan dalam masa sama sebagai pengurus pelumba paralimpik.

Pasukan paralimpik memenangi dua emas, empat perak dan satu gangsa pada kejohanan yang selesai sehari sebelum acara trek ACC berlangsung.

Isu berkenaan mula didedahkan jaguh lumba basikal kebangsaan, Azizulhasni Awang yang meluahkan kekecewaan itu menerusi laman sosial Twitter dan Facebooknya, minggu lepas.

Kejadian pada Jumaat itu, dipercayai berlaku apabila Muhammad Firdaus menyumbang emas pertama negara dalam acara 1km ujian masa kategori remaja dan rakaman lagu kebangsaan itu dikatakan berada dalam simpanan Ibrahim yang berada di Taj Mahal semasa majlis itu berlangsung, bagi meraikan pelumba paralimpik.

Mengulas lanjut, Zolkples berkata berkata MSN tidak akan mengambil tindakan terhadap Ibrahim sebaliknya menyerahkan kepada PKBM bagi menentukan langkah atau tindakan yang sesuai berhubung isu tersebut. -BERNAMA

Artikel Lain