suria

Misi Pertahan Emas, Harimau Muda A Jalani Latihan Di Slovakia

PETALING JAYA: "Hanya pingat emas. Bukan perak atau pun gangsa". Itu pesanan Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin kepada skuad Harimau Muda A kebangsaan.

"Kita mesti mempertahankan pingat emas yang dimenangi dua kali berturut-turut dan saya yakin dengan adanya barisan pemain sekarang, ia mampu dilakukan.

"FAM serta Majlis Sukan Negara (MSN) akan membantu dan menyokong apa jua perancangan yang dilakukan oleh ketua jurulatih negara, Ong Kim Swee bagi memastikan persiapan ini berjalan lancar," jelasnya.

Pada aksi dua tahun lalu, skuad negara berjaya mempertahankan pingat emas buat kali kedua berturut-turut dan beliau memegang jawatan sebagai pengurus pasukan, menggantikan Datuk Afandi Hamzah yang menunaikan ibadat haji ketika itu.

"Saya faham tekanan yang dirasakan ketika memegang pasukan ini buat sementara waktu dua tahun dulu, tetapi ia dapat diatasi dengan baik selepas semua pihak memberi komitmen yang maksimum.

"Jadi tahun ini, saya mahu perkara yang sama akan dicapai di bawah pengurusan Datuk Afandi," tambahnya lagi.

Sementara itu, Kim Swee yang tenang dengan pesanan penting itu menganggap permintaan itu tidak menjadi tekanan kepadanya.

"Dua tahun lepas pun kami juga menghadapi tekanan untuk mempertahankan pingat emas dan kami berjaya mencapainya.

"Tetapi tahun ini tugas mempertahankan pingat emas buat kali ketiga berturut-turut lebih besar cabarannya.

"Saya percaya dengan perancangan yang telah diatur, kami yakin mampu mengekalkan gelaran juara itu dan dalam masa sama tetap berwaspada dengan pasukan lain yang pastinya mahu menewaskan Malaysia," jelasnya.

"Kami akan bertolak ke Slovakia pada 16 Mac ini dan akan berada di sana lebih kurang lima bulan.

"Di sana kami telah membuat perancangan rapi di mana ia bukan sekadar latihan semata-mata, tetapi turut mengadakan perlawanan persahabatan dengan beberapa buah kelab.

"Saya sudah menyediakan perancangan latihan di mana saya akan mengaplikasikan beberapa sistem terutama di bahagian serangan dan pertahanan.

"Kita akan lakukan di sana dahulu, dan apabila kembali ke sini, kita akan cuba menggunakan corak itu dan sekiranya ia tidak menjadi, kita masih ada masa untuk memperbaikinya.

"Apa yang saya mahu tengok ialah kombinasi dan corak hantaran pendek yang dilakukan pemain," jelasnya mengenai latihan di Slovakia nanti.

Menurut Kim Swee, senarai pemilihan pemain Harimau Muda A akan berubah berdasarkan prestasi semasa.

"Tidak semestinya pemain yang berlatih di Slovakia ini terpilih untuk aksi Sukan SEA. Beberapa pemain lain juga tidak dapat menyertai kami kerana terikat dengan kelab di sini.

"Jadi saya akan pantau mereka melalui jurulatih mereka dari masa ke semasa," tambahnya.

Senarai perlawanan persahabatan Harimau Muda A di Eropah:

1.Pasukan kebangsaan bawah 19 tahun Slovakia (23 Mac)

2. Pasukan Liga Corgon (top division)

-MSK Zilina

-MFK Ruzomberok

-FK Dukla Banska Bystrica

-FC Nitra

-MFK Myjava

-FK Senica

-Vion Zlate Moravce

3. Divisyen 2 Slovakia

-MFK Dubnica nad Vahom

-ZP FK Podbrezova

4. Hungary

Nemzeti Bajnoksag (top divison)

-Budapest Ujpest FC

-Lombard Papa FC

5.Republic Czech

Liga Ceska Gambrinus (top division)

-Bohemians Prag

-Slavia Prag

Artikel Lain