suria

Saya Akan Cuba Lagi - Chong Wei

SEPANG: Walaupun gagal mempertahankan gelaran juara perseorangan lelaki pada kejohanan All-England yang berlangsung Sabtu lalu, jaguh badminton negara Datuk Lee Chong Wei tetap optimis untuk terus memburu kejayaan lain bagi menebus kekecewaan itu.

Pemain nombor satu dunia itu turut gagal mencipta kemenangan hatrik selepas memegang gelaran juara pada edisi 2011 dan 2010 apabila tewas kepada pemain muda dari China, Cheng Long dengan mata 17-21 dan 18-21 pada perlawanan akhir yang berlangsung di Birmingham Indoor Arena, England.

Chong Wei mengakui beliau sangat kecewa dengan kegagalan itu walaupun telah berusaha bersungguh-sungguh untuk menundukkan pemain China berusia 24 tahun itu.

"Hari itu milik Cheng Long, bukan hari saya. Beliau turun ke gelanggang dengan keyakinan yang luar biasa.

"Saya mengakui mutu permainan beliau (Cheng Long) lebih baik berbanding sebelum ini," katanya kepada pemberita sejurus tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada Selasa setelah menyertai kejohanan berprestij itu.

Selain itu, Chong Wei mengesahkan tidak akan beraksi dalam saingan Axiata Cup 2013 di Jakarta, Indonesia bulan depan kerana ingin memberi tumpuan penuh kepada persiapan menghadapi beberapa kejohanan lain.

"Saya akan rehat dua atau tiga hari ini sebelum memulakan latihan bagi persiapan menghadapi Australian Badminton Open di Sydney pada awal April sebelum beraksi di Kejohanan Indonesia Open pada September," jelasnya.

Sementara itu, beliau mencadangkan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) segera mengkaji kelemahan skuad badminton negara pada kejohanan All-England 2013 dan segera membetulkannya.

Chong Wei berkata beliau juga akan melakukan perbincangan dengan jurulatihnya Tey Seu Bock bagi mengenal pasti punca prestasi kurang memberangsangkan pasukan badminton negara.

Hanya Chong Wei menjadi wakil tunggal negara layak ke saingan akhir kejohanan itu manakala tiga lagi pemain perseorangan kebangsaan iaitu Tan Chun Seang, Liew Daren dan Chong Feng tewas kepada lawan masing-masing pada perlawanan pertama.-BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain