suria

MSN Teliti Laporan Pengurusan Ke ACC Sebelum Ambil Tindakan - Zolkples

SEPANG: Majlis Sukan Negara (MSN) akan meneliti laporan pengurus pasukan negara ke Kejohanan Berbasikal Asia (ACC) di New Delhi, India berhubung isu lagu Negaraku tidak berkumandang ketika Malaysia memenangi pingat emas pertama acara trek pada kejohanan itu, sebelum mengambil tindakan.

Ketua Pengarah MSN Datuk Seri Zolkples Embong berkata laporan berkenaan perlu diserahkan kepada badan induk sukan negara itu selepas Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) menyiasat perkara itu.

"Saya serahkan kepada PKBM membuat siasatan mengenai perkara ini terlebih dahulu dan jika terbukti beliau lalai selaku pengurus pasukan, tindakan perlu diambil.

"Kami masih menunggu laporan tersebut dan sebarang tindakan oleh MS Nbergantung kepada laporan yang dikemukakan PKBM," katanya ketika ditemui pemberita semasa menyambut ketibaan skuad berbasikal negara dari New Delhi di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur di sini, Rabu.

Isu berkenaan didedahkan jaguh lumba basikal kebangsaan, Azizulhasni Awang yang meluahkan kekecewaan itu menerusi laman sosial Twitter dan Facebooknya.

Kejadian Jumaat lepas itu, dipercayai berlaku apabila pelumba pelapis negara, Muhammad Firdaus Mohd Zonis menyumbang emas pertama negara dalam acara 1km ujian masa kategori remaja dan rakaman lagu kebangsaan berada dalam simpanan pengurus pasukan (Ibrahim Mustafa) yang berada di Taj Mahal ketika majlis itu berlangsung. Mengulas lanjut, Zolkples berkata jika isu lagu Negaraku itu benar, ia tidak sepatutnya berlaku kerana matlamat menghantar atlet negara menyertai kejohanan antarabangsa adalah supaya lagu kebangsaan dimainkan dan Jalur Gemilang dikibarkan.

Beliau berkata kejadian itu perlu dijadikan iktibar bukan sahaja kepada PKBM, malah kepada persatuan sukan lain dan setiap pengurus pasukan perlu tahu tanggungjawab masing-masing.

Mengenai prestasi skuad negara di ACC, Zolkples bangga dengan pencapaian mereka terutama pelumba pelapis yang berjaya meraih empat daripada keseluruhan tujuh pingat emas yang dimenangi Malaysia pada saingan itu.

"Pencapaian ini menjanjikan masa depan yang lebih cemerlang kepada skuad berbasikal negara dengan kebangkitan lebih ramai pelumba muda," katanya.

Dalam perkembangan lain, Zolkples berharap pembinaan velodrom tertutup pertama di negara ini akan dipercepatkan bagi memastikan prestasi pelumba negara berada pada tahap terbaik, selain dapat menjimatkan perbelanjaan daripada menghantar mereka berlatih di luar negara.

Beliau berkata tapak pembinaan velodrom itu sudah dikenal pasti, namun enggan mendedahkan lokasinya. -BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain