suria

Kelab Penyokong Bola Sepak N.Sembilan Desak PBNS Buat Rombakan

SEREMBAN: Presiden Kelab e-Penyokong Negeri Sembilan (n9futbol.com) Ahmad Zaini Baharun mendesak Persatuan Bolasepak Negeri Sembilan (PBNS) membuat rombakan berikutan prestasi hambar skuad Negeri Sembilan pada saingan Liga Super.

Katanya PBNS harus bertindak drastik demi 'menyelamatkan' pasukan Negeri Sembilan daripada terus berada di tangga tercorot.

"Rombakan itu termasuk mendapatkan jurulatih dan pemain baharu yang dapat mengubah kedudukan Negeri Sembilan. Kita telah beri masa secukupnya pada jurulatih Divaldo Alves, namun tiada perubahan. Antara jurulatih tempatan yang boleh menggantikan Divaldo ialah M. Karathu, Wan Jamak Wan Hassan dan Mohd Zaki Sheikh Ahmad.

"Manakala penyerang import baharu yang berprestasi tinggi dan mempunyai rekod yang baik juga perlu diserap segera ke dalam pasukan," katanya.

Beliau berkata terpulang kepada PBNS untuk melakukan perubahan ini.

Ahmad Zaini berkata jika langkah segera tidak diambil untuk membaiki keadaan, beliau bimbang skuad Negeri Sembilan akan terjerumus ke Liga Perdana musim depan.

Selepas mengharungi 10 perlawanan setakat ini, Negeri Sembilan yang mengumpul lima mata, masih berada di tangga terbawah liga.-BERNAMA

Artikel Lain