suria

Pesaka Tunggu Lampu Hijau MSN Lantik Jurulatih Pesilat Wanita

KUALA LUMPUR: Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (Pesaka) masih menunggu kelulusan Majlis Sukan Negara (MSN) berhubung pelantikan jurulatih wanita buat pertama kalinya untuk membimbing skuad silat negara menghadapi Sukan SEA di Myanmar hujung tahun ini.

Penyelaras Sukan Silat Pesaka, Osman Nok berkata pihaknya telah mengemukakan nama bekas jurulatih Sukan Malaysia (Sukma) Kelantan, Yusdeelah Yusof kepada MSN, pada awal tahun ini bagi mengisi jawatan tersebut.

"Namanya sudah ada dan kami sedang menunggu kelulusan MSN selain mendapatkan pelepasan daripada Kementerian Pelajaran (KPM) kerana beliau seorang guru di Kelantan.

"Sebaik sahaja kami mendapat kata putus daripada MSN dan mendapat pelepasan daripada KPM, beliau akan dipanggil bersama-sama melatih skuad silat kita," katanya.

Skuad silat negara termasuk pesilat wanita kini dilatih dua jurulatih lelaki tempatan iaitu Nasri Nasir dan Mazlan Shaari sejak awal tahun ini, sementara menunggu ketibaan bekas jurulatih Sukma itu.

Osman berkata seramai 18 pesilat akan disenaraikan dalam pasukan silat negara untuk beraksi dalam acara silat olahraga dan silat seni pada Sukan SEA di Myanmar.

Antara atlet berkenaan ialah Mohd Al Jufferi Jamari, Ahmad Sharil Zailudin dan Siti Rahmah Mohamed Nasir.

"Kami tidak menetap sasaran tetapi berharap mereka boleh mengekalkan ataupun meningkatkan jumlah pungutan pingat. Saya harap mereka akan memberi keputusan yang cemerlang berbanding dua tahun lepas," katanya.

Pada Sukan SEA 2011 di Indonesia, Malaysia meraih tiga pingat emas menerusi Ahmad Sharil, Mohd Al Jufferi dan Mohd Fauzi Khalid serta satu perak dan lima gangsa. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain