suria

Pertahankan Pingat Emas Sukan Sea - Razali

KUALA LUMPUR: Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Razali Ibrahim mahu skuad Harimau Muda negara mempertahankan pingat emas pada Sukan Sea hujung tahun ini.

Pasukan muda kebangsaan berjaya meraih emas dalam dua edisi Sukan Sea berturut-turut (2009 dan 2011) dan pihak Jawatankuasa Pembangunan Bola Sepak bersedia membiayai sebahagian daripada jumlah penuh persiapan skuad itu menghadapi temasya tersebut.

"Kami telah meminta pihak Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) untuk mempertahankan pingat emas pada aksi Sukan Sea hujung tahun ini.

"Kami juga telah bersetuju untuk menanggung perbelanjaan sebanyak 1.3 peratus daripada jumlah penuh bagi melancarkan persiapan mereka.

"Bantuan ini diberikan sehinggalah Sukan Sea berlangsung," jelasnya selepas Mesyuarat Jawatankuasa Pembangunan Bola Sepak, di Majlis Sukan Negara (MSN) pada Jumaat.

Hadir sama pada sidang media ini ialah Pengarah MSN, Datuk Seri Zolkples Embong dan Setiausaha Agung FAM, Datuk Azzuddin Ahmad.

Dalam pada itu Rozali juga turut mengumumkan mengenai perkara yang berbangkit dalam mesyuarat tersebut.

"Mesyuarat hari ini lebih kepada laporan tentang perlaksanaan program 2012 dan kami berpuas hati dengan apa yang dicapai tahun lalu.

"Selain itu, turut dibincangkan mengenai perancangan tahun ini dan keputusan telah dicapai mengenai program MyKids Soccer yang mana pusat-pusat latihan akan ditambah dari 14 ke 30 buah keseluruhan.

"Ia termasuk satu di Labuan dan satu di di Putrajaya. Ini bermakna seramai 3,600 pelatih MyKids Soccer keseluruhan dengan jumlah jurulatih seramai 224 orang.

"Jumlah pelatih dilihat bertambah memandangkan program ini amat penting dalam pembangunan sukan bola sepak negara.

"Malah saya juga turut berbangga kerana seramai 900 pelatih yang telah dicadangkan berjaya mendapat tempat di tiga buah sekolah sukan di negara," jelasnya.

Selain itu, pihak jawatankuasa turut mengumumkan pemberian memberi sumbangan kepada salah seorang pelatih MyKids Soccer dari Perak, Hazreq Zafri Sabaruddin yang kehilangan bapanya iaitu Koperal Sabaruddin Daud, anggota Komando Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang telah terbunuh dalam serangan pencerobohan di Lahad Datu baru-baru ini.

"Dengan sumbangan RM5,000 yang diberikan kepada Hazreq, kami berharap ia sekurang-kurang dapat meringan beban keluarganya.

"Dia juga merupakan seorang pelatih yang mempunyai rekod baik dan mempunyai masa depan yang cerah dalam program ini," tambah Razali.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain