suria

Kerajaan Negeri Terengganu Arah Pengurusan T-Team Ambil Langkah Drastik

KUALA TERENGGANU: Kerajaan negeri mengarahkan pengurusan pasukan T-Team supaya mengambil langkah drastik terhadap prestasi pasukan terutamanya pemain import.

Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan negeri Rozi Mamat berkata kerajaan negeri memandang serius terhadap pasukan itu yang tidak menyerlah dalam kejohanan liga musim ini.

"Kita telah memberitahu pihak pengurusan T-Team supaya membuat perubahan segera terutamnya kepada pemain impot kerana belum menyumbangkan gol.

"Saya rasa sudah terlalu panjang masa diberi kepada pemain import .. saya kira kita kena ambil langkah-langkah yang segera supaya pasukan bangkit," katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran kedai T-Bikes Shops di Lan Jawa Motor di sini malam Rabu.

Dalam menghadapi kempen Liga Malaysia musim ini, T-Team menggunakan khidmat dua pemain import iaitu Caleb Colman Folan (penyerang) dan Antwi George Boateng (tengah).

Mengulas lanjut Rozi berkata kerajaan negeri meminta pengurusan T-Team melakukan sesuatu daripada sekarang sebelum terlambat.

Rozi berkata padanya amat menyedihkan kalau pemain profesional tidak dapat memberi sumbangan yang baik kepada pasukan apatah lagi tidak menjaringkan sebarang gol.

"Kalau saya masih lagi menjadi pengurus pasukan T-Team, sudah lama saya ambil tindakan ke atas pemain import ini," katanya.

Beliau berkata adalah masa terbaik bagi T-Team untuk menukar pemain import apabila Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) membuat pendaftaran baru pada bulan depan.-BERNAMA

Artikel Lain