suria

PKBM Puas Hati Dengan Prestasi Pelumba Dalam LTdL 2013

KUALA TERENGGANU: Prestasi pelumba kebangsaan khususnya dalam perlumbaan Le Tour de Langkawi (LTdL) boleh dibanggakan, kata presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) Datuk Abu Samah Wahab.

"Setakat ini saya berpuas hati dengan persembahan pelumba-pelumba kita walaupun pada dua pendakian di Cameron Highlands dan Genting Highlands mereka masih gagal menyaingi pelumba-pelumba lain. Jurang antara pelumba kita dengan mereka masih jauh dalam aspek pendakian.

"Sasaran asal kita untuk berada dalam kelompok 10 pasukan terbaik tidak dapat. Sebaliknya saya mahu pelumba kita mengekalkan prestasi untuk berada di kedudukan sekarang," katanya ketika ditemui pemberita semalam.

Selepas peringkat ketujuh, pasukan kebangsaan negara berada di kedudukan ke-15 keseluruhan dan kelima dalam kategori Asia.

Abu Samah berkata sasaran PKBM seterusnya untuk pelumba kebangsaan ialah meraih pingat emas Sukan SEA Myanmar pada hujung tahun ini.

"Saya selaku delegasi teknikal (acara berbasikal) akan ke Myanmar pada 27 dan 28 Mac ini untuk memantau perjalanan pra-Sukan SEA untuk acara berbasikal bukit.

"Saya akan membawa Amiruddin (jurulatih kebangsaan acara berbasikal lebuh raya) untuk meninjau laluan. Saya akan memilih laluan yang mungkin akan menyebelahi pelumba kita. Jika laluan banyak melibatkan laluan berbukit, kita terpaksa bersaing dengan pelumba Indonesia yang pakar dalam pendakian," katanya.

Terdahulu Abu Samah menyerahkan imbuhan khas PKBM kepada Mohammed Adiq Hussainie Othman berikutan kejayaan beliau meraih pingat perak Kejohanan Berbasikal Asia (ACC) tahun lepas.

Abu Samah berkata imbuhan itu adalah sumbangan daripada PKBM kerana imbuhan Skim Anugerah Kecemerlangan Sukan (Shakam) Majlis Sukan Negara (MSN) tidak melibatkan kategori bawah 23 tahun.

"Ia (pemberian imbuhan) agak lewat bukan sebab apa, kita mengharapkan MSN yang akan beri tetapi kami dimaklumkan bahawa tidak ada Shakam untuk kategori itu. Ia tidak dapat diberi lebih awal kerana Adiq berada di luar negara dan saya ambil kesempatan LTdL ini untuk menyampaikannya," kata Abu Samah.

Sementara itu Mohammed Adiq Hussainie pula berkata beliau akan menggunakan imbuhan itu sebagai persediaan menghadapi ACCdi New Delhi, India pada Mac ini.

"Saya akan membahagikan wang imbuhan ini kepada rakan sepasukan yang membantu saya mendapat kemenangan ACC tahun lepas.

"Untuk ACC akan datang, saya masih belum mendapat kata putus daripada pengurus pasukan Champion System. Mungkin selepas LTdL saya mendapat pelepasan untuk menyertai ACC atau perlu berlumba di Jelajah Taiwan," katanya. -BERNAMA

Artikel Lain