suria

Piala FA: Terengganu Optimis Lakar Kemenangan

KUALA TERENGGANU: Pasukan Terengganu optimis mahu melakar kemenangan pada aksi menentang Pulau Pinang sekali gus menempah tempat suku akhir pada saingan Piala FA pada Selasa.

Ketua jurulatih pasukan itu E. Elavarasan berkata bagi mengapai misi itu pasukannya perlu mengekalkan momentum kemenangan yang diraih ketika menentang Angkatan Tentera Malaysia (ATM) baru-baru ini.

Katanya anak buahnya berjaya mempamerkan aksi bertenaga dan persefahaman yang jitu dalam mengejar kemenangan bagi menghidupkan peluang memperbaiki kedudukan dalam Liga Super.

"Saya harap anak didik saya mampu meneruskan aksi dan rentak cemerlang bagi melangkah ke peringkat seterusnya," katanya ketika dihubungi di sini.

Menurutnya pada perlawanan menentang Pulau Pinang pasukannya akan diperkuatkan semula oleh empat tonggak utama yang tidak dapat diturunkan semasa menentang ATM.

Justeru itu tiada alasan meraih kemenangan dalam perlawanan tersebut. Pada perlawanan menentang ATM Sabtu lalu menyaksikan pasukan Terengganu bermain tanpa empat tonggak utama namun mereka berjaya membuktikan mampu melakar kemenangan sekali gus mengutip tiga mata penuh.

"Kemenangan menentang ATM memberi suntikan semangat kepada para pemain berdepan Pulau Pinang di laman sendiri.

"Kehadiran empat tonggak utama pasukan Terengganu perlu mencatatkan kemenangan mutlak dalam perlawanan menentang Pulau Pinang untuk melangkah ke peringkat suku akhir Piala FA," katanya.

Pada masa sama beliau memberi amaran kepada para pemainnya agar tidak bersikap sambil lewa apabila berdepan Pulau Pinang.-BERNAMA

Artikel Lain