suria

Divaldo Yakin Pasukannya Mampu Bangkit

SEREMBAN: Jurulatih Negeri Sembilan Divaldo Elves yakin pasukannya mampu bangkit semula dalam saingan Liga Super musim ini.

Katanya walaupun Negeri Sembilan masih buntu mencari kemenangan pertama setelah mengharungi lapan perlawanan setakat ini, tapi keputusan itu tidak melemahkannya dan peluang masih ada untuk memperbaiki apa juga kelemahan dan kesilapan dalam pasukan.

"Kita masih lagi dalam perjuangan untuk perlawanan akan datang. Saya harap kita melupakan keputusan sebelum ini dan fokus untuk perlawanan yang akan datang. "Masalah yang kita hadapi sekarang ialah ramai pemain yang mengalami kecederaan, manakala pemain baru pula belum dapat persefahaman. Mungkin juga ada faktor pemain tertekan dengan suasana berlainan," katanya di sini, Sabtu.

Semalam, Negeri Sembilan gagal menamatkan kemarau kemenangan selepas mengharungi lapan perlawanan selepas seri tanpa jaringan dengan T-Team.

Dengan keputusan itu, Negeri Sembilan yang mengumpul lima mata, masih berada di tangga terbawah liga.

Sehubungan itu, Elves, jurulatih yang berasal dari Portugal itu meminta pemainnya supaya bekerja keras dan fokus kerana hanya kemenangan sahaja yang akan mengubah kedudukan Negeri Sembilan.

"Dalam perlawanan seterusnya, kita akan berusaha sedaya upaya untuk menang. Saya mengharapkan pasukan ini akan menonjolkan persembahan yang lebih baik dalam perlawanan seterusnya," katanya.

Sementara itu, Presiden Kelab e-Penyokong Negeri Sembilan (n9futbol.com) Ahmad Zaini Baharun berkata sesuatu yang drastik perlu dilakukan oleh Persatuan Bolasepak Negeri Sembilan (PBNS) bagi mengelak Negeri Sembilan terperosok di tangga terbawah liga.

Untuk itu, beliau mencadangkan penyerang import Emanuel de Poras dari Argentina perlu dicari penggantinya dengan seberapa segera. -BERNAMA

Artikel Lain