suria

Tiga Pemain Regular Sertai Tenis Terbuka Malaysia BMW

KUALA LUMPUR: Tiga pemain regular Casey Dellacqua dari Australia, Chang Kai-Chen dari Taiwan dan Misaki Doi dari Jepun adalah antara pemain yang memberi pengesahan untuk beraksi pada Terbuka Malaysia BMW 2013 dari 25 Februari hingga 3 Mac di Kelab Golf Diraja Selangor (RSGC) di sini.

Mereka dijangka menghadapi saingan sengit daripada bekas pemain nombor satu dunia Caroline Wozniacki dari Denmark, juara bertahan Hsieh Su-Wei dari Taiwan dan pemain nombor satu Jepun Ayumi Morita pada kejohanan edisi ketiga itu.

Kejohanan yang mendapat pengiktirafan penuh Persatuan Tenis Wanita (WTA) ini dan diadakan untuk julung kalinya di gelanggang tenis RSGC, akan disertai 32 pemain dan 16 pasukan. Mereka bersaing untuk dimahkotakan sebagai juara perseorangan dan beregu yang menawarkan hadiah US$235,000 (RM730,849).

Seramai 24 pemain akan bertarung untuk mendapatkan tempat bagi pengundian utama, kata Carbon Worldwide Sdn Bhd, penaja bersama kejohanan itu dalam kenyataan pada Khamis.

Pemain yang pertama kali menyertai kejohanan ini termasuk Ashleigh Barty dari Australia, Chan Yung-jan (Taiwan), Zhang Shuai (China) dan dua pemain muda Jepun Misaki Doi dan Kurumi Nara.

Malaysia akan diwakili tiga pemain wildcard Aslina Chua, S. Theiviya dan Yus Syazlin Nabila pada kejohanan yang ditaja BMW dan diiktiraf Persatuan Tenis Rumput Malaysia ini. BERNAMA

Artikel Sebelum

Wang Kuasai Peringkat Ketiga LTdL

Artikel Berikut

Artikel Lain