suria

Liga Super: Dollah Mahu Pemain Bangkit Bertemu Kelantan

PETALING JAYA: Ketua jurulatih Pahang, Dollah Salleh (gambar) mengakui kekalahan dua perlawanan sebelum ini kepada Singapura dan Perak sedikit mengganggu kepercayaan diri pemain-pemainnya.

Dollah berkata, kekalahan kepada Perak dalam aksi Liga Super baru-baru ini lebih memberi kesan yang mendalam kepada pasukannya kerana perlawanan itu sebenarnya menjadi milik Pahang.

"Kami agak sedih kerana tewas dengan Perak dan kita sepatutnya mengutip mata penuh, tetapi saya akui pemain-pemain turut melakukan kesilapan sendiri.

"Bagaimanapun kekalahan itu diharap dapat menjadi pengajaran kepada semua pemain dan kembali bangkit pada perlawanan seterusnya.

Pahang yang sebelum ini memulakan kempen Liga Super dengan aksi garang dengan menguasai kedudukan liga, namun jatuh ketangga kelima sehingga ini.

"Saya mahu pemain-pemain kembali memberi kepercayaan kepada penyokong-penyokong Pahang yang tidak putus-putus memberi sokongan kepada kami.

"Perlawanan esok (Sabtu) menentang Kelantan merupakan satu ujian besar kepada pasukan saya. Bermain dengan pasukan berpengalaman seperti itu memerlukan fokus dan komitmen yang sempurna.

"Namun saya yakin, kelebihan bermain di laman sendiri boleh memberi semangat berbeza, lebih-lebih lagi kepada semua peminat Pahang.

"Saya diberitahu tiket bagi perlawanan ini sudah habis dijual sebanyak 14 ribu keping dan inilah masanya untuk kami mengembalikan kepercayaan kepada mereka," jelasnya kepada mStar Online.

Sementara itu, Dollah berkata, pemainnya Mohd Saiful Nizam sudah boleh beraksi selepas menerima tiga kad kuning sebelum ini.

Pahang kini mengutip 12 mata dalam tujuh perlawanan termasuk mencatat empat kemenangan dan tiga kali tewas.

Artikel Sebelum

Wang Kuasai Peringkat Ketiga LTdL

Artikel Berikut

Artikel Lain