suria

Guardini Sasar Kekalkan Jersi Raja Pecut LTDL

LANGKAWI: Pelumba Itali Andrea Guardini dari Astana Pro Team menyasar untuk mengekalkan jersi raja pecut Le Tour de Langkawi (LTdL) bagi kali ketiga berturut-turut meskipun berdepan cabaran lebih sengit tahun ini.

"Tahun ini amat sukar disebabkan saingan daripada beberapa pelumba handalan, terutamanya Pro Teams lain.

"Antara mereka ialah Theo Bos (Netherlands) dari Blanco Pro Cycling Team, Bryan Coquard (Perancis) dari Team Europcar, Francesco Chicchi (Itali) dari Vini-Fantini Selle-Italia. Tidak lupa juga pelumba Malaysia, Mohd Harrif Salleh (Terengganu Cycling Team) dan Anuar Manan (Synergy-Baku Cycling Project)," kata Guardini ketika ditemui Bernama di sini Selasa.

Pelumba berusia 23 tahun itu muncul pelumba pertama yang merangkul kemenangan enam peringkat dalam edisi tahun lepas dan merupakan penunggang paling berjaya dalam sejarah acara perlumbaan basikal di Malaysia dengan meraih 11 kemenangan setakat ini.

"Saya tahu agak sukar untuk mengekalkan jersi raja pecut tetapi saya akan berusaha untuk memenanginya kerana saya memenangi jersi itu sejak dua tahun lepas. Bagi saya, memenangi peringkat adalah penting namun memenangi jersi itu lebih penting sekarang.

"Sekarang saya dengan Astana, mereka ada ramai penunggang muda dan bagus, Mereka juga ada beberapa penunggang pecut yang bagus seperti Assan Bazayev dan Alaxandr Dyachenko yang boleh membantu saya semasa pecut," kata Guardini.

Beliau menarik perhatian bahawa beliau tidak akan bersaing bagi klasifikasi umum memandangkan Astana mempunyai penunggang yang dikhususkan seperti Alexandr Dyachenko dan Andrey Kasheckin.

"Laluan tahun ini sukar dengan peringkat Genting Highlands dan Cameron Highlands tetapi saya pernah melalui laluan ini dahulu. Saya yakin dengan strategi pasukan yang bagus, saya yakin saya boleh melakukan pecutan yang baik di garisan penamat," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain