suria

Bos Ramal Cabaran Sengit Dalam Kemunculan Pertama Di LTdL

LANGKAWI: Pelumba pecut pasukan Blanco Pro Cycling Team, Theo Bos dari Belanda yang membuat penampilan pertama dalam kejohanan lumba basikal berprestij Le Tour de Langkawi, menjangka cabaran sengit daripada pesaingnya ditambah dengan keadaan cuaca yang panas dan lembab.

"Ia akan menjadi perlumbaan yang baik dan dengan beberapa pecutan yang hebat. Pertandingan ini akan menjadi benar-benar hebat dengan begitu ramai pasukan mempunyai pelumba pecut yang baik," katanya dalam sidang media selepas majlis pengenalan rasmi pasukan LTdL di Dataran Lang di sini, Rabu.

Majlis itu dihadiri Timbalan Menteri Belia dan Sukan Datuk Razali Ibrahim dan Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) Datuk Abu Samah Wahab.

Pasukan Blanco Pro Cycling Team yang berpangkalan di Belanda akan bergantung harapan dengan Bos, bagi mengetuai pasukan itu dalam saingan LTdL yang bermula pada Khamis.

Pasukan Blanco Pro Cycling Team yang sebelum ini dikenali sebagai Rabobank sejak 1996, akan membuat kemunculan pertama pada kejohanan berprestij Asia ini.

Apa yang dibimbangkan Bos apabila tiba buat kali pertama di Langkawi ialah cuaca Malaysia yang panas.

"Cuacanya benar-benar panas dan ia agak mengejutkan saya," katanya.

Katanya sasaran pasukannya adalah untuk membawa pulang sekurang-kurangnya satu kemenangan.

Bos, bekas juara trek dunia akan ditemani pelumba dari Australia yang juga bekas pelumba pecut yang menjadi sebutan ramai di Malaysia pada permulaan kariernya, Graeme Brown, memandangkan pasukan itu menetapkan sasaran dalam acara penamat pecutan berkelompok.

Brown yang juga bekas pemegang rekod LTdL dengan sembilan peringkat kemenangan dari 2002 sehingga 2005 sebelum pelumba Itali Andrea Guardini mencatat rekod baharu dengan 11 peringkat kemenangan dalam dua edisi. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain