suria

Nadal Bukti Masih Berbisa

Nadal menjulang trofi pertamanya selepas pulih daripada kecederaan lutut.
Nadal menjulang trofi pertamanya selepas pulih daripada kecederaan lutut.
Nadal menjulang trofi pertamanya selepas pulih daripada kecederaan lutut.

BINTANG Tenis Sepanyol, Rafael Nadal membuktikan dia masih lagi berbisa selepas berjaya merangkul gelaran pertama dalam tempoh lebih tujuh bulan dengan menjuarai Kejohanan Tenis Terbuka Brazil awal pagi Isnin.

Pemain No. 1 dunia dari Sepanyol itu masih belum pulih sepenuhnya daripada kecederaan lutut yang menghantuinya, namun masih lagi mampu menewaskan pemain Argentina, David Nalbandian 6-2, 6-3 dalam masa 78 minit pada final.

Berada di ranking kelima dunia ketika ini, Nadal mula mengasak sejak dari awal permainan dengan mencuri mata daripada servis lawannya untuk memenangi set pertama.

Nalbandian, 31, bekas pemain No. 3 dunia yang kini jatuh ke tangga 93 dalam ranking ATP, bangkit pada set kedua, namun Nadal jelas sekali berjaya menghalangnya untuk melengkapkan kemenangan dengan sorakan padu para peminatnya.

Ini adalah kejohanan kedua Nadal sejak pulih daripada kecederaan lututnya.

Dia beraksi di Terbuka Vina del Mar di Chile tetapi kalah dalam final acara perseorangan dan beregu dua minggu lalu.

"Apabila keadaan lutut berasa sakit, saya tidak boleh bergerak dengan baik. Dan jika saya tidak boleh bergerak dengan baik, saya tidak boleh memukul bola.

"Apabila lutut saya semakin baik, permainan saya juga akan lebih baik. Semuanya akan berjalan lancar.

"Hari ini saya berasa sangat berpuas hati berada di gelanggang," jelasnya.

Nadal yang pernah memenangi 11 gelaran Grand Slam, menjuarai kejohanan ini buat kali pertama pada 2005.

"Brazil sentiasa di hati saya. Ini merupakan kali kedua berada di sini," tambah Nadal.

Nadal dijangka akan berada di Terbuka Mexico selepas ini sekaligus sebagai persediaan sebelum Terbuka Perancis Mei ini.

Artikel Lain