suria

Nuzul Azwan Sasar Emas Pertama Petanque Pada Sukan SEA

KUALA LUMPUR: Pemain petanque lelaki kebangsaan, Mohamad Nuzul Azwan Ahmad Temizi menaruh harapan menjadi penyumbang pertama pingat emas sukan itu buat negara pada Sukan SEA di Myanmar hujung tahun ini, selepas gagal berbuat demikian pada edisi terdahulu.

Pelajar jurusan Kejuruteraan Automotif Universiti Islam Antarabangsa Malaysia itu berkata beliau menyimpan hasrat itu memandangkan tiada wakil negara yang berjaya berbuat demikian sejak ia mula dipertandingkan pada edisi 2001 di negara ini.

Mengenai persediaan menghadapi temasya dwitahunan itu, anak kelahiran Kuala Kangsar, Perak itu memberitahu Bernama, beliau dan rakan sepasukan akan menyertai Kejohanan Petanque Pattaya Master ketiga yang dijadual berlangsung pada mulai 8 hingga 10 Mac, di Thailand.

"Kejohanan ini menjadi medan terbaik buat saya dan rakan sepasukan menguji kekuatan masing-masing dengan peserta-peserta terbaik dunia terutama dari negara Perancis yang merupakan pelopor sukan ini," kata pelajar berusia 24 tahun itu.

Nuzul Azwan berkata, selain penyertaan dalam kejohanan tempatan dan antarabangsa, barisan kejurulatihan kebangsaan turut memberi fokus kepada usaha meningkatkan corak persembahan atlet kebangsaan.

"Sukan ini memerlukan kemahiran teknikal selain fokus yang tinggi, maka kami perlu terus memperbaiki corak persembahan kami sekiranya ingin menyaingi pemain terbaik dunia terutama dari Perancis yang merupakan kuasa utama sukan ini," katanya.

Untuk rekod, pencapaian terbaik skuad petanque kebangsaan pada Sukan SEA ialah meraih dua perak pada edisi 2009 di Laos. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain