suria

Pahang Gagal Pintas Selangor Di Persada Liga Super

KUALA LUMPUR: Impian Pahang untuk merampas kembali takhta liga tidak kesampaian setelah dikecewakan Lions XII 3-0 pada perlawanan Liga Super di Stadium Jalan Besar, Singapura, malam Sabtu.

Pasukan dari negara jiran itu kini mengumpul 12 mata selepas enam perlawanan dengan perbezaan satu mata di belakang pendahulu liga iaitu pasukan Selangor.

Lions XII membuka jaringan pada minit ke-12 hasil jaringan penyerang berbisanya Faris Ramli.

Pemain pertahanan pasukan tuan rumah, Safuwan Baharudin kemudianya mengandakan jaringan pada minit ke-64 sebelum Fazrul Nawaz menutup tirai jaringan pada minit ke-76.

Di Stadium Tan Sri Dato' Haji Hassan Yunos, Larkin, pasukan berstatus bintang, Johor Darul Takzim, mencatat kemenangan tipis 1-0 ke atas T-Team.

Gol tunggal pasukan tuan rumah dijaringkan oleh pemain importnya Daniel Guiza pada minit ke-33.

Di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Kelana Jaya, Selangor PKNS mengalahkan Felda United 3-1.

Selangor PKNS bermula garang apabila kapten pasukan Helmi Rameli membuka tirai jaringan pada minit ke-28, namun Felda United berjaya menyamakan kedudukan menerusi jaringan pemain importnya Mohammed Mahmoud Ghaddar pada minit ke-33.

Kegembiran Felda United tidak kekal lama apabila pemain import Selangor PKNS mengandakan jaringan menerusi Patrick Ronaldinho Wleh pada minit ke-45 sebelum Nazrin Syamsul Bahari menutup tirai jaringan pada minit ke-56.

Sementara itu, di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, pasukan Negeri Sembilan dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) berkongsi mata apabila mencatatkan keputusan seri 1-1.

Penyerang berbisa pasukan tuan rumah, Mohd Firdaus Azizul melakukan jaringan menerusi rembatan kaki kiri pada minit ke-34 sebelum pasukan ATM menyamakan kedudukan menerusi pemain importnya Bruno Marteloto pada minit ke-89. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain