suria

Rajagobal Tetap Bangga Prestasi Skuad Harimau Malaya

SEPANG: Ketua jurulatih pasukan kebangsaan Datuk K. Rajagobal tetap bangga dengan corak permainan dan komitmen yang dipamerkan skuad Harimau Malaya biarpun tumpas 0-2 kepada Qatar pada aksi sulung kelayakan Piala Asia 2015, Khamis.

Beliau berkata walaupun skuad negara turun tanpa beberapa tonggak utama, mereka mampu memberi tentangan hebat kepada pasukan lawan.

"Kita bermain dengan Qatar yang merupakan sebuah pasukan kuat. Nasib menyebelahi Qatar untuk menjaringkan gol pertama manakala gol kedua mereka diperoleh pada saat-saat akhir.

"Situasi ini menunjukkan kita mampu memberi tentangan yang hebat kepada Qatar, mereka juga tidak menjangka skuad Malaysia bermain dengan baik," katanya kepada pemberita sejurus tiba bersama-sama skuad Harimau Malaya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), di sini, Khamis.

Rajagobal berkata beliau bukan mahu mempertahankan anak buahnya kerana skuad Harimau Malaya sememangnya telah mempamerkan corak permainan yang positif.

"Apa pun, saya fikir semua perlawanan memberi pengajaran dan pengalaman yang banyak kepada setiap pemain dan mereka juga sedar bahawa mereka perlu bermain dengan lebih baik pada masa akan datang," katanya.

Beliau berkata skuad Harimau Malaya mempunyai masa kira-kira sebulan untuk mempersiapkan diri menghadapi Yemen pada aksi kelayakan kedua di sini pada 22 Mac, dan berharap pemain dapat menimba pengalaman hasil pertemuan dengan Qatar.

"Saya mahu mereka mengekalkan konsistensi mereka untuk perlawanan menentang Yemen kelak," katanya.

Pemain tengah, Mohd Shakir Shaari berkata barisan pemain skuad Harimau Malaya telah memberi sepenuhnya komitmen pada perlawanan menentang Qatar, Rabu.

"Kita sudah buat yang terbaik dan kita sudah cuba. Saya berharap kita dapat mempamerkan permainan lebih baik apabila menentang Yemen," katanya.

Dalam satu perlawanan Kumpulan D pada Rabu, Bahrain mengatasi Yemen 2-0. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain