suria

Skuad Harimau Muda A Teruskan Latihan Pusat Selasa Ini - Kim Swee

KUALA LUMPUR: Skuad Harimau Muda A akan meneruskan latihan pusat bermula Selasa ini selepas mengakhiri siri perlawanan persahabatan pada Jelajah Australia pada Selasa.

Skuad tersebut dijadual mengadakan perlawanan persahabatan menentang Myanmar di Yangoon, 23 Feb ini.

Ketua jurulatih skuad berkenaan, Ong Kim Swee, menerusi Twitternya hari ini, berkata mereka akan pulang dari Australia pagi esok sebelum melaporkan diri untuk latihan pusat di Wisma FAM, Kelana Jaya, Isnin ini.

Pada Jelajah Australia, skuad bawah 23 tahun kebangsaan itu mengalahkan dua pasukan kelab Liga Perdana Australia (APL) Palm Beach Sharks 5-1 dan Brisbane Lions SC 2-1 sebelum kalah tipis 2-1 kepada Brisbane Olympic.

Pada aksi persahabatan terakhir semalam, skuad negara itu melakarkan kemenangan besar apabila membelasah pasukan bawah 18 tahun Akademi Sukan Queensland, 7-0.

Selepas perlawanan persahabatan di Yangoon, skuad itu dijangka berlepas ke Slovakia untuk menjalani latihan intensif selama lima bulan bermula 15 Mac ini bagi persiapan mempertahankan pingat emas Sukan SEA di Myanmar, Disember ini.

Skuad itu dijadual mengadakan 15 perlawanan persahabatan semasa di Slovakia.

Sekembalinya dari Slovakia, pasukan berkenaan dijangka menyertai Pesta bola Merdeka di Kuala Lumpur dan Piala Thanh Nien di Vietnam. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain