suria

Muizz Azam Bangkit Semula Selepas Kecewa Pada Perlumbaan Pembuka Tirai 2013

KUALA LUMPUR: Muizzuddin Musyaffa Abdul Gafar gagal membuka tirai musim 2013 dengan bergaya apabila menduduki tempat ke-14 pada perlumbaan go-kart WSK Masters Series di Litar La Conca, Muro Leccese, Itali, pada Ahad.

Lebih mesra dipanggil Muizz, kanak-kanak berusia 10 tahun dari Cheras, Kuala Lumpur itu, memulakan saingan akhir di tempat keenam dalam kategori mini 60 bawah 13 tahun.

Bagaimanapun, insiden pergeseran dengan tiga kenderaan pada pusingan ketiga menyebabkan kedudukannya jatuh ke tangga ke-19 sebelum bangkit memberi saingan sehingga menamatkan perlumbaan lapan pusingan itu. "Memang malang...Muizz merupakan antara pelumba utama dengan menduduki tiga tempat pertama pada peringkat saringan pada Jumaat dan Sabtu. Bagaimanapun, insiden seperti ini memang terjadi dalam sukan permotoran," kata pengurusnya Zainuddin Radzi dalam kenyataan di sini Isnin.

Beliau berkata Muizz amat kecewa dengan keputusan tersebut apabila beliau bertekad untuk menaiki podium dalam setiap perlumbaan musim ini.

Kini dalam musim kedua di Itali, Muizz tinggal bersama ibunya di Sicily, Itali, untuk mengikuti perlumbaan sepenuh masa bersama pasukan Gamoto Racing Team.

Muizz, yang menerima sokongan Kementerian Belia dan Sukan tahun ini, akan menyertai WSK Masters Series, WSK Euro Series, Kejohanan ROK Itali, CSAI Italian National Karting serta beberapa kejohanan pilihan wilayah.

Tahun lepas, Muizz menjadi peserta Malaysia pertama menjuarai perlumbaan go-kart di Eropah apabila merangkul dua kejohanan wilayah iaitu Kejohanan Puglia pada Mei dan Kejohanan Piala Sicily pada Jun.

Pelumba muda itu turut dinamakan juara Piala Bakat Baharu selepas menduduki tempat ketiga keseluruhan pada siri Kejohanan ROK Itali 2012. -BERNAMA

Artikel Lain