suria

Pemain Perlu Sedia Terima Cabaran Kelab Luar - Shabery

KUALA TERENGGANU: Dua pemain Harimau Muda A, Wan Zaharulnizam Wan Zakaria dan Wan Zack Haikal Wan Nor diminta mempunyai kesediaan mental, fizikal dan semangat yang tinggi sebelum menerima kontrak dua tahun bersama kelab divisyen tiga Jepun, FC Ryukyu, pada April nanti.

Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata kedua-dua pemain negara, masing-masing berusia 22 tahun, itu perlu bersedia menerima cabaran bermain di luar negara serta menyesuaikan diri dengan persekitaran baharu.

"Malah mereka perlu bersedia untuk atasi masalah merindui kampung halaman, lupakan seketika makanan yang disediakan mak mereka, keadaan cuaca di tempat orang, pergaulan kawan-kawan, bahasa dan bermacam lagi," katanya kepada pemberita di sini pada Ahad.

Beliau berkata demikian ketika mengulas tawaran kontrak oleh kelab Jepun itu selepas kedua-dua pemain itu menjalani ujian pada Mac tahun lepas.

Sebelum ini, pemain skuad Harimau Muda A, Nazmi Faiz Mansor, menamatkan kontrak tiga tahun bersama kelab dari Portugal, S.C. Beira-Mar, selepas beraksi bersama pasukan itu selama lapan bulan, mulai Mei tahun lepas.

Semalam, pemain berusia 18 tahun itu menandatangi kontrak selama tiga tahun dengan kelab Selangor PKNS untuk beraksi dalam saingan Liga Super. -BERNAMA

Artikel Berikut

Keputusan Bundesliga

Artikel Lain