suria

Tinju: PTAM Sasar Tiga Emas Pada Sukan SEA Myanmar 2013

KUALA LUMPUR: Persatuan Tinju Amatur Malaysia (PTAM) menyasarkan tiga pingat emas pada temasya Sukan SEA ke-27 di Myanmar dari 11 hingga 22 Disember ini, kata Setiausaha Kehormatnya, Mohamad Jani Ismail.

Beliau berkata sasaran tersebut adalah realistik berdasarkan prestasi semasa 18 petinju yang dipilih mengikut kem latihan pusat di Kompleks Sukan Majlis Sukan Negara (MSN) di Taman Keramat di sini pada 18 Februari ini.

"Kita bagaimanapun tidak meletakkan sasaran kepada petinju tertentu untuk meraih pingat emas kerana tidak mahu memberi tekanan kepada mereka," katanya.

Mohamad Jani berkata kesemua pelatih berkenaan dipilih menerusi tiga kejohanan tahun lepas iaitu Kejohanan Antara Perkhidmatan Angkatan Tentera Malaysia, Kejohanan Piala Malaysia dan Kejohanan Jemputan Antarabangsa Pulau Pinang.

Beliau menegaskan sekiranya 18 petinju berkenaan tidak mencapai prestasi yang ditetapkan oleh jurulatih maka mereka akan diganti dengan petinju berpotensi yang akan dipilih menerusi beberapa kejohanan tempatan sebelum Sukan SEA.

Menurutnya skuad pelatih tersebut akan dikurangkan kepada 12 orang bagi mengikuti latihan insentif bermula Jun depan sebelum enam petinju berpotensi meraih emas akan dipilih untuk menggalas cabaran negara pada Sukan SEA nanti.

Untuk rekod, pencapaian terbaik skuad tinju negara pada Sukan SEA ialah meraih dua pingat emas pada edisi 2001 di Kuala Lumpur dan 2009 di Laos. BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain