suria

LTdL 2013: Perebutan Jersi Kuning Terbuka

KUALA TERENGGANU: Kerajaan negeri Terengganu diumumkan sebagai penaja jersi Kuning bagi edisi ke-18 Le Tour de Langkawi (LTdL) dan ia dianggap tepat pada masanya.

Dengan lima pasukan Pro Tour bersedia menjelang majlis pengenalan pasukan Le Tour de Langkawi, 20 Februari ini di pulau peranginan penuh legenda yang menjadi tempat kelahiran jelajah itu pada 1996, acara lumba basikal bertaraf dunia ini memasuki era baru selepas empat tahun berturut-turut didominasi pasukan Amerika Selatan.

“Perebutan jersi kuning kini menjadi lebih terbuka berbanding sebelumnya.

"Melihat kepada senarai tidak rasmi pelumba saja, saya boleh melihat ada lebih daripada 20 pelumba yang berpotensi menang daripada semua lima benua," kata Ketua Pegawai Operasi, Emir Abdul Jalal.

Ketika mengumumkan penajaan kerajaan negeri Terengganu termasuk jersi kuning pendahulu keseluruhan bagi jelajah itu, Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said berkata, hubungan kerjasama dengan salah satu acara penganjuran sukan terbesar di peringkat antarabangsa di negara ini, menepati hasrat negeri itu untuk mempromosi Tahun Melawat Terengganu 2013.

"Jersi kuning kali ini akan memaparkan tema Tahun Melawat Terengganu dengan jelas dan ini memberi penjenamaan yang meluas untuk negeri ini.

"Sebab itulah, kerajaan negeri mahu menggunakan sepenuhnya peluang untuk mempromosi negeri ini menerusi LTdL, yang diakui antara acara sukan berbasikal yang besar di pentas antarabangsa,” katanya.

LTdL 2013, yang membawa slogan "The Heat is On" atau “Bahang Kian Terasa” akan bermula secara rasmi di Kangar pada 21 Februari dan jelajah ini akan membabitkan 10 peringkat dengan jarak keseluruhan 1469.7 kilometer.

Perlumbaan ini dinaungi Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) sebagai jelajah 2.HC (hors category) dalam calendar UCI Asia Tour, dianjurkan oleh Kementerian Belia dan Sukan menerusi Majlis Sukan Negara (MSN) dengan kerjasama Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (MNCF).

Juara keseluruhan Le Tour de Langkawi:

1996: Damian McDonald (Aus) 1997: Luca Scinto (Ita) 1998: Gabriele Missaglia (Ita) 1999: Paolo Lanfranchi (Ita) 2000: Chris Horner (USA) 2001: Paolo Lanfranchi (Ita) 2002: Hernan Dario Munoz (Col) 2003: Tom Danielson (USA) 2004: Freddy Gonzalez (Col) 2005: Ryan Cox (RSA) 2006: David George (RSA) 2007: Anthony Charteau (Fra) 2008: RuslanIvanov (Mol) 2009: JoseSerpa (Col) 2010: JoseRujano (Ven) 2011: YonathanMonsalve (Ven) 2012: JoseSerpa (Col)

Artikel Berikut

Artikel Lain