suria

Ng Mahu Teruskan Kecemerlangan Selepas Juarai Terbuka Remaja British

KUALA LUMPUR: Ng Eain Yow, yang muncul juara kategori Lelaki Bawah-15 pada Terbuka Remaja British baru-baru ini, kekal menjadi pertaruhan terbaik Malaysia pada Sirkit Remaja CIMB ke-4.

Pusingan pertama kejohanan itu akan berlangsung dari 28 Feb hingga 3 Mac di Gelanggang Skuasy MSP di Kuantan, Pahang.

Ng dari Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ) berharap prestasinya terus cemerlang.

"Saya terpaksa berdepan lawan yang hebat pada Terbuka Remaja British awal bulan ini. Saya tidak jangka memenangi pertandingan itu.

"Saya berharap dapat meneruskan momentum baik ini pada Sirkit Remaja Kebangsaan tahun ini," kata Ng semasa ditemui pada majlis pelancaran Program Pembangunan Remaja Skuasy CIMB 2013 di Dewan Perdana, Institut Sukan Negara (ISN) di Bukit Jalil, di sini, Rabu.

Pada majlis itu, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan CIMB Raja Noorma Raja Othman menyampaikan ikrar penajaan bernilai RM200,000 kepada Presiden Persatuan Skuasy Malaysia (SRAM) Datuk Syed Mustaffa Syed Ali.

Majlis itu juga menandakan pelancaran Sirkit Remaja Kebangsaan CIMB Rising Stars Ke-8 (kategori Bawah-9, Bawah-11 dan Bawah-13) dan Sirkit Remaja CIMB Ke-4 (kategori Bawah-15, Bawah-17 dan Bawah-19).

Kedua-dua sirkit, masing-masing membabitkan tiga pusingan dan setiap pusingan akan diadakan di negeri berlainan di seluruh negara untuk mempromosikan sukan itu di seluruh negara dan perlawanan akhir bersama akan diadakan di Pusat Skuasy Nasional dari 9 hingga 12 Mei.

Pusingan pertama Sirkit Remaja Kebangsaan CIMB Rising Stars bermula esok hingga 3 Februari di Pusat Skuasy Nasional, Bukit Jalil, manakala Sirkit Remaja CIMB bermula dari 28 Feb hingga 3 Mac di Gelanggang Skuasy MSP di Kuantan, Pahang.

"Menerusi sokongan CIMB, SRAM berjaya menangani kebanyakan perkara dalam program yang disusun untuk meliputi semua peringkat daripada akar umbi sehingga menjadi profesional.

"Dengan semua program ini disusun dan dilaksanakan, SRAM boleh menumpukan untuk meningkatkan lagi kualiti dan pencapaian keputusan pemain-pemainnya," kata Timbalan Presiden SRAM Huang Ying How dalam ucapannya.

Beliau berkata kira-kira 800 pemain remaja di seluruh negara dijangka mengambil bahagian tahun ini. BERNAMA

Artikel Sebelum

WTA: Keputusan Terbuka Paris

Artikel Berikut

Artikel Lain