suria

Chong Wei Anggap Laluan Tetap Sukar Walaupun Tiada Pemain Handalan Di Terbuka M'sia

KUALA LUMPUR: Pemain nombor satu dunia Datuk Lee Chong Wei tetap menganggap laluan memburu kejuaraan kesembilan pada Kejohanan Maybank Terbuka Malaysia 2013 tetap berliku walaupun beberapa pemain ternama dunia mengambil keputusan menarik diri.

Beliau berkata penarikan diri Boonsak Ponsana dari Thailand yang sepatutnya menjadi lawan beliau pada pusingan kedua hari ini bukan satu tiket yang menjamin kedudukan beliau untuk merangkul kejuaraan kedua tahun ini selepas Terbuka Korea minggu lepas.

Sebagai rekod, Chong Wei telah memenangi Terbuka Malaysia sebanyak lapan kali iaitu pada 2004, 2005, 2006, 2008, 2009, 2010, 2011 dan 2012.

"Walaupun Boonsak telah menarik diri, namun lawan saya (pada pusingan suku akhir esok) iaitu Hu Yun (dari Hong Kong) bukanlah seorang pemain yang senang untuk dikalahkan kerana kami berdua pernah bertemu di Terbuka Korea.

"Saya tidak menjangka bahawa ramai pemain ternama telah menarik diri namun saya tetap fokus untuk menghadapi satu demi satu perlawanan pada kejohanan kali ini," katanya pada sidang media di Stadium Putra, Bukit Jalil, di sini.

Bekas juara dunia dan pemenang pingat emas Sukan Olimpik Athens 2004, Taufik Hidayat semalam mengambil keputusan drastik dengan menarik diri daripada kejohanan berkenaan setelah dilanda kecederaan.

Turut memgambil keputusan untuk menarik diri ialah beregu utama negara, Koo Kien Kiat dan Tan Boon Heong selepas Tan disyaki mengidap deman denggi.

Pada masa yang sama, beliau turut menggesa pemain perseorangan kedua negara, Liew Daren untuk menggunakan ketiadaan Taufik untuk mara lebih jauh pada kejohanan kali ini.

Liew mendapat slot percuma ke suku akhir selepas lawannya, Taufik menarik diri. - BERNAMA

Artikel Lain