suria

Zulfadli Ketuai Senarai Lapan Pemain Negara Ke Pusingan Utama Terbuka Malaysia

KUALA LUMPUR: Bekas juara remaja dunia, Zulfadli Zulkiffli mengetuai senarai lapan pemain negara yang melayakkan diri ke pusingan pertama Kejohanan Badminton Terbuka Malaysia 2013 selepas menundukkan lawan masing-masing pada pusingan kelayakan di Stadium Putra, Bukit Jalil, di sini, Selasa.

Pemain berusia 19 tahun itu mudah menewaskan wakil Hong Kong, Nan Wei dengan kemenangan 21-13 dan 21-11 untuk menempah pertemuan dengan pemain England, Rajiv Ouseph pada pusingan pertama yang dijadualkan bermula pada Rabu.

Turut melayakkan diri ke pusingan pertama ialah dua beregu lelaki pelapis kebangsaan iaitu Mohd Razif Abdul Latif/Vountus Indra Mawan dan Low Juan Shen/Tan Yip Jiun yang menewaskan lawan masing-masing.

Mohd Razif dan Vountus mara selepas menundukkan rakan sepasukan, Mohd Lutfi Zaim Abdul Khalid dan Teo Kok Siang dengan kemenangan 21-18 dan 21-15.

Low dan Tan pula mengenepikan cabaran seorang lagi beregu negara, Chan Peng Soon dan Ong Jian Guo dengan keputusan 21-16 dan 21-17.

Dalam acara perseorangan wanita, pemain pelapis kebangsaan iaitu Ho Yen Mei mendapat tentangan sengit rakan sepasukan, Lee Ying Ying sebelum mengesahkan slot ke pusingan pertama dengan keputusan 9-21, 21-16 dan 21-19.

Yen Mei bagaimanapun bakal berdepan laluan getir selepas dijadual bertemu pemain ke-33 dunia dari Indonesia, Adrianti Firdasari pada perlawanan, Rabu.

Nasib malang menimpa juara Sirkit Akhir Kebangsaan 2012, Misbun Ramdan Misbun yang kalah kepada pemain China, Chen Yuekun, 15-21 dan 16-21.

Chen bagaimanapun gagal melepasi pusingan awal selepas kalah kepada rakan senegara, Gao Huan pada perlawanan kedua kelayakan dengan keputusan 13-21 dan 13-21.

Pusingan pertama kejohanan yang menawarkan hadiah wang tunai keseluruhan US$400,000 (RM1.204 juta) bermula pada Rabu dengan tumpuan lebih terarah kepada juara bertahan, Datuk Lee Chong Wei yang memburu kejuaraan peribadi kesembilan.

Keputusan pusingan kelayakan melibatkan pemain Malaysia:

Zulfadli Zulkiffli mn Nan Wei (HK) 21-13,21-11

Misbun Ramdan Misbun kk Chen Yuekun (CHN) 15-21, 16-21

Chong Yee Han/Tan Kian Meng kk Cho Gun Wo/Kim Dae Eun (KOR) 17-21, 14-21

Mohd Razif Abdul Latif/Vountus Indra Mawan mn Mohd Lutfi Zaim Abdul Khalid/Teo Kok Siang 21-18, 21-15

Low Juan Shen/Tan Yip Jiun mn Chan Peng Soon/Ong Jian Guo 21-16, 21-17

Kok Zheng Yi/Kong Keat Zhen kk [2] Kang Ji Wook/Lee Sang Joon (KOR) 9-21,8-21

Ho Yen Mei mn Lee Ying Ying 9-21, 21-16, 21-19

Lim Chiew Sien kk Sun Yu (CHN) 9-21, 5-21

Joyce Choong Wai Chi/Yap Cheng Wen mn Cynthia Tuwankotta/Claudia Vogelgsang (SWI/JER) (Joyce dan Yap catat kemenangan percuma selepas pemain lawan menarik diri)

Erica Khoo Pei Shan/See To Chia Vern mn [4] Eng Pui Yee/Yap Zhen 21-9, 21-12

[3] Goh Yea Ching/Peck Yen Wei mn S. Kisona/Tew Jia Jia 22-20, 21-12

[2] Ho Yen Mei/Yap Rui Chen mn Anna Cheong Ching Yik/Lee Tong Xin 21-9, 21-11

[4] Wong Fai Yin/Lai Shevon Jemie kk Chan Yun Lung/Tse Ying Suet (HK) 12-21, 20-22

Mohd Razif Abdul Latif/Chong Sook Chin kk Praveen Jordan/Vita Marissa (INA) 5-21, 15-21

Nota: Dalam kurungan ialah pemain pilihan. - BERNAMA

Artikel Lain