suria

WTF Semak Semula Aspek Teknikal Taekwondo

KUALA LUMPUR: Persekutuan Taekwondo Dunia (WTF) tidak menolak kemungkinan mengkaji semula aspek teknikal dalam taekwondo untuk menjadikan sukan itu lebih menarik pada masa akan datang.

Presiden WTF, Dr Chungwon Choue berkata antara aspek yang akan dikaji semula Jawatankuasa Teknikal WTF dalam mesyuaratnya lewat tahun ini ialah berhubung pakaian dan gelanggang pertandingan bagi sukan itu.

Bagaimanapun, beliau berkata badan pentadbir peringkat dunia sukan taekwondo itu akan tetap mengekalkan pakaian hijab bagi ahli sukan wanita terutama yang datang dari negara-negara Islam seperti Iran disebabkan sukan itu sangat popular di negara-negara berkenaan.

"Sebagai contoh, di Olimpik Athens 2004, kawasan tempur taekwondo ialah 12x12 meter, sebelum ia dikecilkan kepada 10x10m pada Olimpik Beijing 2008, tetapi selepas menerima respons tidak menggalakkan, kami mengecilkannya lagi kepada 8x8m di London, dan ia berjaya kerana dapat menarik sejumlah besar penonton.

"Pakaian bagi atlet taekwondo mestilah menarik, fleksibel dan berwarna-warni untuk memikat penonton menyaksikan taekwondo," kata Chungwon kepada Bernama di sini hari ini sebelum berlepas pulang setelah melawat Malaysia selama tiga hari.

Lawatannya ke sini bertujuan menyelia perkembangan sukan taekwondo di Malaysia.

Chungwon yang mengetuai WTF pada 2004, berkata badan pentadbir peringkat dunia itu juga meneliti aspek menambah baik sistem perlindungan dan pemarkahan (PSS) yang diperkenalkan buat pertama kali di temasya sukan Olimpik Beijing 2008.

"Kami telah melaksanakan sepenuhnya PSS ini di sukan Olimpik di London, baru-baru ini, tetapi terdapat unsur-unsur yang perlu diperbaiki bagi memastikan penghakiman yang adil di sepanjang kejohanan pada masa akan datang," katanya.

Ditanya rancangan jangka panjang WTF untuk mempopularkan lagi sukan itu, Chungwon berkata pihaknya telah menyusun pelbagai program bagi menarik lebih ramai orang bergiat dalam sukan itu.

"Sesetengah negara seperti China, Brazil, Iran dan Turki telah menjadikan taekwondo sebagai sukan peringkat permulaan di sekolah-sekolah," katanya.

Pada masa ini WTF dianggotai 204 buah negara dan sejumlah 70 juta orang menjadi pengamal tetap taekwondo. -BERNAMA

Artikel Lain